Usia bukan penghalang, 'Aqeel raih 8A dalam SPM

GEORGE TOWN- Walaupun berusia lebih muda berbanding rakan sebaya, seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 membuktikan usia bukan penghalang apabila berjaya meraih keputusan cemerlang 8A dalam semua subjek yang diambil.
Ahmad 'Aqeel Ibrahim, 17, yang mengikuti jurusan Akaun dan Matematik Tambahan berkata, kejayaan tersebut hasil disiplin belajar yang konsisten selain sokongan guru serta doa ibu bapa.
Menurut Ahmad 'Aqeel, dia tidak mengikuti kelas tuisyen sebaliknya lebih banyak mengulang kaji pelajaran bersama ibunya yang merupakan guru tuisyen.
“Saya banyak menghadiri kelas tambahan di sekolah dan cuba bina hubungan baik dengan guru.
"Paling penting, doa daripada ibu itu sangat membantu,” katanya ketika ditemui pada hari pengumuman keputusan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jambul, di sini pada Selasa.
Menariknya, Ahmad 'Aqeel merupakan pelajar yang melangkau tahun persekolahan sejak kecil apabila memasuki Tahun Satu pada usia enam tahun selepas lulus ujian khas ketika berumur lima tahun.
Katanya, pengalaman tersebut menjadikan dirinya lebih matang dan terbiasa bergaul dengan rakan yang lebih berusia.
“Saya tidak rasa tekanan walaupun umur lebih muda.
"Kawan-kawan semua baik, cuma kadang-kadang ada juga gurauan biasa,” ujarnya.
Ahmad 'Aqeel yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik berkata, dia hanya memperuntukkan masa kira-kira dua jam pada hujung minggu untuk mengulang kaji pelajaran khususnya subjek Matematik Tambahan yang diminatinya.
Bagaimanapun, katanya, titik perubahan berlaku selepas keputusan peperiksaan percubaan yang kurang memberangsangkan apabila hanya memperoleh kira-kira tiga A, termasuk gred C bagi Matematik Tambahan dan D bagi Sejarah.
“Lepas keputusan 'trial' itu, saya mula serius belajar dan fokus kepada semua subjek. Hasilnya saya memperoleh A+ bagi Bahasa Inggeris, Matematik, Matematik Tambahan dan Prinsip Perakaunan.
"Subjek lain iaitu A- untuk Bahasa Melayu, Pendidikan Islam dan Sejarah manakala Sains saya dapat A," katanya.
Ahmad 'Aqeel yang bercita-cita melanjutkan pengajian dalam bidang Matematik sehingga ke peringkat doktor falsafah turut menyifatkan sokongan keluarga sebagai faktor penting kejayaannya.
Sementara itu, seorang lagi calon cemerlang, M Sanjay, 18, yang mengikuti aliran Sains Tulen dengan tambahan subjek Akaun turut memperoleh keputusan semua A+ dalam 10 subjek.

Sanjay berkata, kejayaannya didorong oleh amalan membuat latihan secara konsisten selain memberi sepenuh perhatian ketika guru mengajar di dalam kelas.
“Saya pastikan setiap latihan yang diberikan oleh guru disiapkan dan cuba faham setiap topik dengan baik,” katanya.
Sanjay menambah, dia turut mengikuti kelas tuisyen bagi enam subjek termasuk Matematik Tambahan, subjek sains dan Prinsip Perakaunan bagi memperkukuhkan kefahaman.
Sanjay berkata, kebiasaannya dia memperuntukkan antara satu hingga dua jam untuk belajar setiap hari bergantung kepada kesesuaian masa dan keadaan.
Selain belajar secara individu, katanya, dia juga mengamalkan pembelajaran berkumpulan bersama rakan-rakan dengan berkongsi soalan dan jawapan sebagai kaedah ulang kaji berkesan.
“Kadang-kadang saya belajar sendiri tetapi ada juga buat perbincangan dengan kawan-kawan untuk lebih faham,” ujarnya.
Tambahnya, antara subjek yang paling mencabar baginya ialah Pendidikan Moral, Fizik dan Matematik Tambahan namun usaha berterusan membantu meningkatkan prestasinya.
Sanjay yang merupakan anak tunggal berkata, bapanya bekerja sebagai kerani pentadbiran di Universiti Sains Malaysia manakala ibunya seorang suri rumah.
Beliau turut aktif dalam aktiviti kokurikulum yang memegang jawatan bendahari bagi Kelab Pelancongan di sekolah.
Menurutnya, dia telah memohon untuk melanjutkan pengajian ke peringkat matrikulasi dan bercadang menceburi bidang Sains Komputer namun masih terbuka dalam menentukan kerjaya masa depan.
Ringkasan AI
- Ahmad 'Aqeel berjaya meraih 8A dalam SPM 2025 walaupun lebih muda dari rakan sebaya.
- Beliau tidak mengikuti kelas tuisyen dan hanya mengulang kaji bersama ibunya yang merupakan guru tuisyen.
- Setelah keputusan percubaan kurang memuaskan, beliau memberi fokus penuh dan mendapat keputusan cemerlang.
- Sanjay, calon cemerlang lain, mendapat semua A+ dalam 10 subjek dengan amalan pembelajaran konsisten.
- Beliau merancang melanjutkan pengajian ke matrikulasi dengan minat dalam Sains Komputer.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

