Rumah terbuka: Antara nikmat, kesihatan dan poket

Hari Raya Aidilfitri adalah masa bergembira, tetapi bukan bermakna kita perlu berlebih-lebihan. Gambar hiasan
Hari Raya Aidilfitri adalah masa bergembira, tetapi bukan bermakna kita perlu berlebih-lebihan. Gambar hiasan
A
A
A

LEBIH seminggu Aidilfitri diraikan, suasana mula berubah. Jalan raya kembali sibuk, dan satu demi satu perantau pulang ke bandar selepas menikmati kemeriahan beraya di kampung halaman.

Namun, berakhirnya perjalanan balik kampung bukan bermakna sambutan turut berakhir. Sebaliknya, inilah permulaan kepada satu lagi tradisi yang cukup sinonim iaitu musim rumah terbuka. Pelbagai jemputan mula diterima, dari rakan taulan, jiran tetangga hinggalah ke majlis anjuran keluarga sendiri.

Sudah tentu, tuan rumah menyediakan pelbagai juadah menggoda selera. Nasi himpit, lemang, rendang, kuah kacang, serta kuih raya berbalang-balang. Belum lagi air manis berwarna-warni yang memikat mata. Sukar untuk menolak, apatah lagi ‘raya kan setahun sekali.’ Tanpa disedari, kita cenderung mengambil makanan secara berlebihan.

Bayangkan satu hari beraya, pagi makan nasi himpit dengan kuah kacang, tengah hari sambung rendang dan lemang, petang pula kuih raya dan air manis. Malam? Ulang lagi di rumah lain. Kalau ini berterusan, tidak hairan berat badan naik mendadak.

Menurut pakar pemakanan, pengambilan kalori semasa Aidilfitri boleh meningkat dua hingga tiga kali ganda, disebabkan sarapan berat, rumah terbuka berturut-turut, dan snek berterusan. Bagi mereka yang menghidap diabetes atau tekanan darah tinggi, situasi ini sangat berisiko.

Senior Dietitian Hospital Pantai Sungai Petani, Norhayati Samsuddin menegaskan pengambilan kuih raya serta makanan berkarbohidrat tinggi boleh menyebabkan lonjakan gula darah dengan cepat.

Menurutnya, makanan tinggi lemak dan garam pula boleh menyebabkan tekanan darah meningkat terutama bagi individu mempunyai masalah hipertensi.

Makan terlalu banyak makanan berlemak dan berat juga boleh menyebabkan gangguan sistem penghadaman seperti kembung perut, pedih ulu hati atau keradangan perut.

Malah, pengambilan kalori tinggi dalam masa singkat juga boleh menyebabkan lebihan tenaga disimpan sebagai lemak sekali gus meningkatkan risiko obesiti.

Artikel Berkaitan:

Data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 mendapati 54.4 peratus orang dewasa di Malaysia kini dikategorikan sebagai berlebihan berat badan atau obes.

Namun, ini bukan bermakna kita tak boleh menikmati makanan raya. Kuncinya ialah sederhana. Ambil sedikit, rasa seadanya. Pilih air kosong berbanding minuman manis, dan cuba seimbangkan dengan aktiviti ringan seperti berjalan kaki semasa beraya.

Selain isu kesihatan, rumah terbuka juga sering membawa cabaran kewangan dan pembaziran. Perbelanjaan memang boleh meningkat dengan cepat - baju raya, kuih-muih, duit raya dan macam-macam lagi.

Tambahan pula dengan pengaruh media sosial, ramai yang rasa perlu up to standard agar tidak ketinggalan. Akhirnya, ada yang terpaksa berhutang semata-mata untuk nampak sempurna di mata orang lain.

Hakikatnya, hari raya tidak pernah menuntut kita untuk berbelanja besar. Apa yang lebih penting ialah keberkatan dan kebahagiaan bersama keluarga.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menekankan kepentingan merancang perbelanjaan dan berjimat cermat, terutama dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.

Kesimpulannya, Hari Raya Aidilfitri adalah masa bergembira, tetapi bukan bermakna kita perlu berlebih-lebihan. Kadangkala, kesederhanaan itu lebih bermakna. Bila kita mula menghargai apa yang ada, mengawal perbelanjaan, menjaga kesihatan dan mengelakkan pembaziran, barulah sambutan hari raya menjadi lebih bermakna.

*Siti Hazira Hamdan ialah Sub Editor Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!