Beraya di Balai Polis: 4 kanak-kanak cuit hati, jadi tular

MANJUNG - Tindakan berani sekumpulan kanak-kanak yang berkunjung ke Balai Polis Pangkor, Perak untuk beraya mencuri perhatian ramai.
Menerusi perkongsian di aplikasi TikTok oleh @Dik_yull, kehadiran empat kanak-kanak berusia sembilan hingga 12 tahun itu memeriahkan suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 21 Mac lalu.
Menurut Koperal Nurul Huda Ismail, pada awalnya pasukan bertugas terkejut apabila menerima laungan salam daripada tetamu yang menyatakan hasrat untuk beraya.
"Pintu balai memang terbuka secara automatik, jadi kami menjemput mereka masuk untuk duduk dan makan. Terdapat lemang, rendang dan biskut raya di ruang tamu.
"Sambil melayan mereka, kami turut terkejut dengan kegigihan mereka beraya dengan berjalan kaki. Jauh juga perjalanan mereka pada hari pertama Syawal," katanya kepada Sinar Harian.

Nurul Huda berkata, sepanjang dua tahun perkhidmatannya di balai berkenaan, kunjungan seumpama itu belum pernah berlaku.
"Semua terkejut sambil tersenyum melihat gelagat bersahaja mereka. Tidak pernah kanak-kanak datang beraya di balai.
"Malah, Sarjan operasi berkata, 'selama saya bekerja di sini, ini kali pertama perkara seperti ini berlaku'," ujarnya.
Perkongsian gelagat spontan dan keberanian kanak-kanak terbabit meraih 851,100 tontonan serta 68,200 tanda suka.
Tambahnya, kehadiran mereka menjadi momen yang menceriakan suasana Hari Raya 2026.
"Insiden ini juga menunjukkan institusi polis bukan sesuatu yang perlu ditakuti. Sebaliknya, kami sentiasa terbuka dan dekat dengan masyarakat, khususnya kanak-kanak.
"Kehadiran mereka bukan sahaja menceriakan suasana, malah menggambarkan hubungan positif serta kepercayaan antara polis dan komuniti.
"Saya berharap semangat ini dapat diteruskan dalam membina masyarakat yang lebih harmoni, saling menghormati dan menyokong antara satu sama lain," katanya.
Ringkasan AI
- Kanak-kanak berusia sembilan hingga 12 tahun beraya di Balai Polis Pangkor.
- Kehadiran mereka mengejutkan dan memeriahkan suasana Hari Raya Aidilfitri.
- Koperal Nurul Huda menyatakan ini pertama kali berlaku dalam dua tahun bertugas.
- Video gelagat mereka mendapat 851,100 tontonan dan 68,200 tanda suka di TikTok.
- Kehadiran kanak-kanak ini menunjukkan hubungan positif antara polis dan komuniti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
