Mat Sabu ajak rakyat bercucuk tanam, kurangkan kebergantungan bekalan import

Mohamad menyeru rakyat Malaysia memanfaatkan ruang di kediaman masing-masing untuk bercucuk tanam. Foto Facebook Mohamad Sabu
Mohamad menyeru rakyat Malaysia memanfaatkan ruang di kediaman masing-masing untuk bercucuk tanam. Foto Facebook Mohamad Sabu
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat diseru memanfaatkan ruang di kediaman masing-masing untuk bercucuk tanam sayuran sebagai langkah mengurangkan kebergantungan kepada bekalan import susulan ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata, konflik geopolitik yang berlaku ketika ini bukan sekadar isu luar negara, sebaliknya ia turut memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan global.

Menurutnya, walaupun impak tidak dirasai secara langsung, kesannya boleh sampai ke meja makan rakyat sekiranya gangguan terhadap rantaian bekalan berterusan.

"Sebab itu, Bang Mat hendak ajak semua, kalau ada ruang walaupun kecil di rumah, tanamlah apa yang mampu. Cili, sayur, ulam.

"Sedikit sebanyak boleh bantu kurangkan kebergantungan dan dalam masa sama jadi satu usaha yang bermanfaat untuk keluarga," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Ahad.

Pada Disember lepas, Mohamad membuktikan ruang tanah terhad bukan halangan untuk bercucuk tanam apabila berjaya memanfaatkan tanah di sekeliling rumah untuk mengusahakan tanaman seperti pandan dan ulam raja.

Beliau berkongsi pelbagai hasil tanaman di sekeliling kediaman yang dinikmatinya selepas kejayaan menternak ikan tilapia dan menanam bawang Rose Ehsan beberapa bulan sebelumnya.

Dalam masa sama, Mohamad menambah, kerajaan akan terus memperkukuh sistem makanan negara bagi memastikan bekalan mencukupi serta akses kepada rakyat sentiasa terjamin.

"Ini tanggungjawab yang sedang dan akan terus kita laksanakan. Yang penting, kita sama-sama ambil peranan. Mulakan dengan apa yang ada.

Artikel Berkaitan:

"Insya-ALLAH, usaha kecil hari ini akan jadi kekuatan besar untuk masa depan," kongsinya lagi.

Ringkasan AI

  • Rakyat diseru bercucuk tanam di rumah untuk kurangkan kebergantungan bekalan import.
  • Konflik geopolitik Asia Barat memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan global.
  • Gangguan rantaian bekalan boleh menjejaskan makanan di meja rakyat.
  • Mohamad Sabu berjaya bercucuk tanam di kawasan terhad di rumah.
  • Kerajaan akan kukuhkan sistem makanan negara untuk bekalan dan akses rakyat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!