Selat Hormuz: Ujian komunikasi, diplomasi Malaysia

ISU tujuh kapal Malaysia yang dilaporkan sedang menunggu kebenaran untuk melalui Selat Hormuz menunjukkan pentingnya aspek komunikasi serta hubungan dua hala dalam menangani krisis di zon konflik.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Sabtu menjelaskan kapal berkenaan yang dilaporkan terkandas di Selat Hormuz bukan ditahan, sebaliknya sedang menunggu kebenaran untuk melalui kawasan tersebut.
Beliau berkata, kesemua kapal itu akan dibenarkan melalui selat terbabit sebaik sahaja dipastikan keadaan di sana benar-benar selamat.
Ujarnya, komunikasi antara pusat arahan di Teheran dan komander di lapangan kadangkala terganggu akibat situasi konflik, menyebabkan pergerakan kapal perlu ditangguhkan sementara.
Selat Hormuz merupakan antara laluan perkapalan paling strategik di dunia yang mengendalikan sebahagian besar penghantaran minyak global.
Dalam keadaan konflik di Asia Barat yang semakin meruncing, sebarang gangguan di laluan berkenaan boleh menjejaskan keselamatan fizikal kapal, malah mencetuskan kesan domino terhadap rantaian bekalan tenaga dunia.
Selain itu, pendekatan Malaysia jelas berteraskan diplomasi. Rundingan awal oleh Menteri Luar serta campur tangan Perdana Menteri dengan Presiden Iran menunjukkan kepentingan hubungan dua hala dalam menangani krisis luar jangka.
Isyarat daripada Iran bahawa tiada halangan untuk kapal Malaysia melalui selat tersebut memberi kelegaan sementara.
Namun, keperluan menunggu keadaan “benar-benar selamat” memperlihatkan bahawa kuasa sebenar bukan hanya pada persetujuan politik, tetapi juga pada situasi keselamatan di lapangan yang sangat dinamik.
Kesimpulannya, isu tersebut mencerminkan bagaimana konflik serantau boleh memberi kesan langsung kepada kepentingan negara, walaupun Malaysia bukan pihak yang terlibat.
Dalam dunia yang semakin tidak menentu, keupayaan mengurus risiko geopolitik menerusi diplomasi, strategi ekonomi dan kesiapsiagaan logistik menjadi sama pentingnya dengan kekuatan fizikal di laut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

