Kanak-kanak 9 tahun maut disyaki didera, bapa tiri antara ditahan

Empat ahli keluarga mangsa termasuk bapa tiri telah ditahan bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh - Gambar hiasan
Empat ahli keluarga mangsa termasuk bapa tiri telah ditahan bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh - Gambar hiasan
A
A
A

TAIPING - Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun meninggal dunia selepas dipercayai menjadi mangsa dera dalam kejadian di Taman Sungai Mas di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Abdul Malek Ismail berkata, kejadian itu dimaklumkan selepas mangsa dibawa ke Hospital Taiping dalam keadaan tidak sedarkan pada jam 12.43 tengah hari.

Menurutnya, pasukan perubatan telah menjalankan resusitasi kardiopulmonari (CPR) selama 30 minit, namun mangsa gagal diselamatkan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 1.12 petang hari sama.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan mencurigakan pada tubuh mangsa.

"Bedah siasat kemudian mengesahkan punca kematian adalah akibat kecederaan di bahagian kepala dan leher disebabkan trauma tumpul,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, empat ahli keluarga mangsa termasuk bapa tiri telah ditahan bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya, tiga lagi individu merupakan ibu serta datuk dan nenek mangsa berusia antara 27 hingga 53 tahun.

"Kesemua suspek telah direman selama tujuh hari bermula 27 Mac bagi tujuan siasatan lanjut," katanya.

Ringkasan AI

  • Seorang kanak-kanak perempuan sembilan tahun meninggal dunia dipercayai akibat dera di Taiping. Mangsa disahkan meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri dan gagal diselamatkan di Hospital Taiping. Kesan kecederaan mencurigakan dijumpai pada tubuh mangsa, punca kematian adalah kecederaan kepala dan leher akibat trauma tumpul. Empat ahli keluarga ditahan untuk siasatan, terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia 27 hingga 53 tahun. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!