Zon penampan: 'Topeng strategi' Israel

Unit kediaman di pinggir selatan Beirut turut menjadi sasaran kempen pengeboman Zionis.
Unit kediaman di pinggir selatan Beirut turut menjadi sasaran kempen pengeboman Zionis.
A
A
A

BEIRUT - Ketika perhatian dunia tertumpu kepada perkembangan konflik Iran, Israel dilaporkan semakin ligat meneruskan rancangan jahat untuk menguasai bahagian selatan Beirut atas alasan mahu mewujudkan 'zon penampan' bagi mengekang aktiviti pejuang Hizbullah.

Langkah tersebut meresahkan rakyat Lubnan yang khuatir ia akan memburukkan lagi ketidakstabilan sedia ada dan mencetuskan gelombang pelarian berskala besar.

Askar Israel melakukan rondaan di kawasan berhampiran sempadan yang musnah dibom.
Askar Israel melakukan rondaan di kawasan berhampiran sempadan yang musnah dibom.

Sejak 4 Mac lalu, Israel telah mengusir komuniti di sekitar Sungai Litani di bahagian selatan, dua hari selepas Hizbullah menyertai konflik Iran–Amerika Syarikat (AS) dengan melancarkan serangan roket ke arah Tel Aviv.

Sungai Litani yang meliputi lapan peratus wilayah Lubnan mengalir ke arah timur dari Laut Mediterranean dan terletak kira-kira 30 kilometer di utara sempadan Israel kini menjadi kawasan strategik diperebutkan.

Unit infantri Pasukan Pertahanan Israel (IDF) telah pun mendirikan kubu baharu di selatan sungai tersebut dan memusnahkan rumah kosong di perkampungan yang ditinggalkan penduduk. Kawasan itu yang didakwa Tel Aviv sebagai kubu kuat proksi Teheran turut didiami komuniti Kristian dan Sunni.

Sejak minggu lalu, Zionis memusnahkan lima jambatan utama dan mengisytiharkan Sungai Litani sebagai 'garisan keselamatan utara' yang kononnya untuk melindungi penduduk Yahudi di sempadan Israel daripada sebarang serangan.

Artikel Berkaitan:

Kepulan asap tebal memenuhi ruang udara selepas perkampungan Dayr Seryan di kawasan selatan dibom bertalu-talu.
Kepulan asap tebal memenuhi ruang udara selepas perkampungan Dayr Seryan di kawasan selatan dibom bertalu-talu.

Ribuan anggota tentera telah dikerahkan ke kawasan sempadan untuk meneruskan kempen pencerobohan terhad di Beirut.

Pertempuran dengan pejuang Hizbullah turut tercetus selain operasi udara dilancarkan IDF menyasarkan kawasan timur dan ibu kota Lubnan.

Sejak lebih tiga minggu lalu, kira-kira sejuta penduduk hilang tempat tinggal dan lebih 1,000 termasuk 120 kanak-kanak dilaporkan terkorban.

Shahira Ahmad Dabdoub, 61, mula gusar jika pendudukan Israel ke atas selatan Lubnan akan meletakkan Beirut dalam jangkauan operasi ketenteraan mereka.

"Selepas Litani, mereka mungkin akan mara ke ibu kota pula," ujarnya yang kini berlindung di pusat penempatan sementara.

Sepanjang beberapa dekad lalu, IDF telah beberapa kali menggempur selatan Lubnan. Ia bermula dengan penubuhan 'zon pendudukan yang sempit' di bawah opeasi menentang gerila Palestin pada 1978 dan disusuli beberapa konflik besar lain di bawah kempen pencerobohan serupa.

Kali terakhir pertempuran sengit tercetus adalah pada Oktober 2023, sebelum satu perjanjian gencatan senjata dicapai pada 2024. Tempoh bertenang yang goyah itu turut menyaksikan tentera Israel terus mengekalkan kehadiran mereka di lima kawasan berbukit di selatan Lubnan.

Perkampungan Kfar Roummane menjadi sasaran terbaharu bedilan ganas Zionis.
Perkampungan Kfar Roummane menjadi sasaran terbaharu bedilan ganas Zionis.

Info

'Zon keselamatan' ciptaan Zionis

- Perang Gaza menyaksikan Israel memusnahkan kawasan yang luas di sempadan enklaf berkenaan untuk penubuhan 'zon selamat' kononnya bagi melindungi komuniti Yahudi yang tinggal di bahagian sempadan.

- Operasi di Lubnan berdasarkan model 'Rafah dan Beit Hanoun' di Gaza.

- IDF turut menguasai puncak strategik Gunung Hermon di selatan Syria pada akhir 2024. Ia menuntut kepimpinan baharu di Damsyik mewujudkan zon bebas tentera dari Damsyik hingga ke Hermon.

Ringkasan AI

  • Israel merancang menguasai selatan Beirut untuk mewujudkan 'zon penampan'.
  • Langkah Israel menyebabkan ketidakstabilan dan gelombang pelarian di Lubnan.
  • Israel telah memusnahkan infrastruktur di Sungai Litani dan mendirikan kubu baharu.
  • Konflik berterusan menyebabkan lebih sejuta penduduk terjejas dan ramai terkorban.
  • Operasi Israel di Lubnan berpandukan model operasi di Gaza.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!