Membina respectful fear

YANG dihormati kapten industri dan peneraju sektor awam. Tugas seorang pemimpin atau pengurus terutama bagi seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) bukanlah suatu amanah yang mudah.
Tanggungjawab utama kita adalah memastikan setiap warga organisasi bergerak serentak menuju matlamat bersama - selari dari segi hala tuju, seirama dalam tindakan dan memacu kepantasan yang mampu mengatasi persaingan.
Namun, untuk mencapai tahap sinkroni itu, komitmen tinggi diperlukan bagi mengimbangi kekuatan dan kelemahan setiap jabatan. Cabarannya ialah tiada formula kekal dalam mengurus sesebuah organisasi. Landskap perniagaan sentiasa berubah dan menuntut kalibrasi semula pada setiap hari.
Tiada makna jika pasukan jualan cemerlang tetapi bahagian pengeluaran gagal memenuhi pesanan. Begitu juga, tidak berguna jika pemasaran memenangi anugerah tetapi sistem operasi dan penyampaian mengalami kepincangan. Kepimpinan sebenar terletak pada keupayaan mengorkestrasikan keseluruhan sistem, bukan sekadar meraikan kecemerlangan terpencil. Inilah beban sekali gus keistimewaan seorang teraju eksekutif.
Definisi respectful fear
Bagi memikul tanggungjawab besar ini, satu sifat kepimpinan utama yang perlu kita bina ialah apa yang saya istilahkan sebagai respectful fear (kegentaran berasaskan hormat). Ia satu bentuk ‘keengganan dalaman’ untuk melanggar piawaian telah ditetapkan seorang pemimpin yang dipercayai, konsisten dan memiliki kewibawaan moral.
Kegentaran itu timbul daripada kesedaran bahawa mengecewakan pemimpin sedemikian akan membawa kesan mendalam. Walaupun ketegasan itu jarang dipamerkan secara terbuka, ‘kuasa’ tersebut tetap wujud. Ia jarang perlu dikuatkuasakan secara keras kerana ia terbentuk daripada akar umbi kewibawaan moral dan konsistensi, bukan sekadar jawatan semata-mata.
Melalui asas itu, lahirnya kawalan kendiri dan kekangan secara sukarela dalam kalangan kakitangan. Mereka bertindak dengan betul bukan kerana dipantau tetapi kerana memandang serius pemimpin, peranan mereka dan organisasi tersebut.
Apabila respectful fear wujud, keperluan untuk penyeliaan berterusan akan berkurangan secara drastik. Amalan pengurusan mikro (micromanagement) dapat dikurangkan, manakala proses membuat keputusan menjadi lebih pantas kerana jangkaan sudah difahami dengan jelas.
Pemimpin tidak perlu meluangkan masa lama membetulkan tingkah laku asas, sebaliknya boleh memberikan fokus bagi memastikan gerak kerja berada pada landasan dan rentak yang betul. Akibatnya, organisasi memperoleh kepantasan dan koheren tanpa perlu meningkatkan birokrasi.
Lebih penting lagi, keberadaan respectful fear secara langsung meningkatkan piawaian etika dan profesionalisme. Ia membentuk budaya teguh tanpa memerlukan penguatkuasaan yang keras - tahap kepercayaan tinggi, selari dengan tahap jangkaan ditetapkan.
Disiplin dalaman
Dalam konteks ini, sasaran, KPI, insentif dan polisi tetap menjadi instrumen penting. Namun, mekanisme tersebut akan berfungsi jauh lebih berkesan apabila disokong oleh sesuatu lebih utuh. Respectful fear beroperasi pada tahap lebih tinggi kerana pemimpin yang berkesan menggerakkan organisasi melalui disiplin dalaman (internalised discipline). Apabila ia wujud, sistem sedia ada akan memperkukuhkan tingkah laku positif secara automatik dan bukannya bergelut membetulkan kegagalan.
Respectful fear melahirkan penguatkuasaan secara senyap (silent authority), suatu kuasa yang tidak perlu diisytiharkan tetapi kehadirannya dirasai melalui tindakan dan kepatuhan sukarela. Oleh sebab piawaian dan akibat telah difahami, pemimpin tidak perlu memberi peringatan berterusan. Maka, pengaruh kepimpinan beroperasi secara konsisten di seluruh organisasi.
Manifestasi pelbagai tahap
1. Tahap pelaksanaan tugasan: Penguatkuasaan secara senyap memastikan tindakan mengambil jalan pintas dirasakan sebagai kesalahan moral. Kualiti terjaga tanpa perlu pemeriksaan rapi. Sebagai contoh, dalam sebuah firma pembuatan, penyelia yang menyedari sedikit penyimpangan kualiti akan membetulkannya serta-merta walaupun tiada sesiapa memerhati. Beliau melakukannya bukan kerana takut hukuman tetapi kerana tahu piawaian kualiti CEO tidak boleh dikompromi. Jabatan pemeriksaan kini menjadi lapisan pengesahan, bukannya benteng keselamatan utama.
2. Tahap tingkah laku pasukan: Budaya akan menggantikan peranan ‘kepolisian’. Kawal selia rakan sejawat (peer regulation) berlaku semula jadi. Rakan sejawat akan saling menegur sekiranya terdapat ahli bertindak di luar nilai organisasi. Contohnya, jika seorang ahli pasukan jualan menjanjikan tempoh penghantaran tidak realistik, rakan sejawatnya akan menegur: "Itu bukan cara kita bekerja di sini." Pembetulan dilaksanakan secara mendatar, bukan menegak. Pasukan melindungi kredibiliti organisasi kerana jangkaan pemimpin telah sebati dalam diri mereka.
3. Tahap prestasi individu: Penanda aras dalaman meningkat melalui motivasi intrinsik. Usaha dipacu rasa bangga, tanggungjawab dan rasa kepunyaan (ownership). Seorang penganalisis yang bekerja secara bebas tahu data tidak sahih akan mengakibatkan tindakan salah. Walaupun tanpa penyeliaan, beliau akan menyemak semula datanya kerana memahami kredibiliti yang terjejas memberi kesan lebih besar daripada sekadar ralat pada hamparan kerja.
Membina kewibawaan: Konsep ‘sat’
Persoalannya, bagaimanakah pemimpin-pengurus membina sifat ini? Satu sudut pandangan yang berguna boleh dilihat melalui konsep masyarakat Cina iaitu ‘sat’ (saat hei dalam Kantonis atau shā qì dalam Mandarin). Ia merujuk kepada karisma atau aura yang dapat dirasai serta-merta. Suasana jadi sunyi apabila pemimpin tersebut melangkah masuk ke dalam bilik. Sat menzahirkan kegentaran yang dihormati, keseriusan tanpa lakonan, penguatkuasaan tanpa gangguan dan kuasa tanpa tayangan.
Kehadiran itu tidak boleh dilakonkan. Ia dibina melalui peredaran masa, bermula dengan sejati (authenticity) dan konsistensi antara kata dengan perbuatan. Seorang pemimpin mesti sanggup membuat keputusan sukar, mengekalkan kawalan emosi dan menunjukkan rekod prestasi yang adil serta tekal. Paling utama, ia memerlukan kewibawaan moral (moral seriousness), bukannya sekadar pesona (charm).
Para kapten industri dan peneraju sektor awam sekalian. Confucius merumuskan idea itu dengan ringkas: "Pemimpin yang memerintah dengan etika dan nilai murni ibarat bintang utara. Ia kekal stabil di lokasinya, manakala bintang-bintang lain secara semula jadi akan menjajar di sekelilingnya."
Respectful fear berfungsi dengan cara sama. Ia tidak diperoleh melalui paksaan tetapi melalui penghormatan yang diraih. Apabila pemimpin membina kewibawaan moral, konsistensi dan kawalan diri, organisasi akan menjajar secara semula jadi. Kepantasan meningkat dan disiplin tetap utuh walaupun pemimpin tiada di sisi.
Inilah kekuatan sebenar seorang pemimpin-pengurus iaitu membina kegentaran berasaskan hormat yang mengekalkan kecemerlangan melangkaui keberadaan fizikal kita di dalam sesebuah bilik.
*Anas Zubedy ialah Pengarah Urusan Zubedy (M) Sdn Bhd, sebuah firma pembangunan insan dan organisasi. Beliau menulis mengenai kepimpinan, pengurusan dan keberkesanan tempat kerja
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
