Treler dipandu laju akibatkan kontena tertanggal di Pelabuhan Klang

SHAH ALAM - Tindakan memandu laju dipercayai menjadi punca sebuah kontena tertanggal daripada treler hingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas dalam kejadian di Jalan Kem, Pelabuhan Klang, Klang tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, insiden pada kira-kira jam 12 tengah hari itu bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kemalangan jiwa dan kerosakan kenderaan kepada pengguna jalan raya lain.
"Siasatan awal mendapati treler terbabit dipercayai dipandu pada kelajuan tinggi ketika melalui lokasi kejadian. Keadaan itu menyebabkan treler bersama muatan kontena tertanggal sebelum terjatuh ke laluan bawah jalan tersebut.
"Kenderaan lain yang melalui laluan tersebut sempat memberhentikan kenderaan masing-masing dan berjaya mengelakkan pelanggaran. Pemeriksaan ke atas pemandu lelaki berusia 30 tahun juga mendapati dia negatif daripada sebarang pengaruh alkohol atau dadah,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jit Huey dalam kenyataan sama memberikan amaran kepada pemandu kenderaan perdagangan untuk tidak memandu secara cuai hingga membahayakan pengguna jalan raya lain.
Terdahulu video kejadian itu tular di media sosial yang memaparkan sebuah treler terlibat dalam kemalangan sehingga mengakibatkan kesesakan. - Bernama
Ringkasan AI
- Tindakan memandu laju dipercayai punca kontena tertanggal daripada treler.
- Tiada kemalangan jiwa atau kerosakan kenderaan berlaku.
- Pemandu treler didapati negatif alkohol dan dadah.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
- Polis beri amaran kepada pemandu untuk tidak memandu secara cuai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
