Khir Toyo minta Kerajaan Madani bawa balik 'pakar formula'

SHAH ALAM - Kerajaan Madani diminta membawa balik 'pakar formula' yang dimiliki mereka bagi memberi penjelasan mengenai kenaikan harga minyak yang didakwa semakin membebankan rakyat.
Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo berkata, rakyat memerlukan satu penjelasan terperinci yang boleh difahami mereka.
"Bawa balik pakar formula yang Kerajaan Madani ada tu, kerana pakar formula yang tinggal dalam kerajaan sekarang ini tak tahu nak kira atau salah formula.
"Rakyat perlukan penjelasan yang boleh dihadam," katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau pada Jumaat.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan pada rabu lalu memaklumkan harga runcit petrol RON97 dinaikkan sebanyak 60 sen kepada RM5.15 seliter bagi tempoh 26 Mac hingga 1 April ini, susulan peningkatan harga minyak global.
Harga runcit diesel di Semenanjung pula naik sebanyak 80 sen kepada RM5.52 seliter manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada harga RM2.15 seliter.
Mohamad Khir yang juga ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan, harga minyak yang terus melonjak itu juga menjadi 'rekod baharu' Kerajaan Madani.
"Kita tak tahu sampai bila harga minyak akan berhenti naik mencanak (ekoran peningkatan harga minyak global dibabkan konflik Asia Barat).
"Jika formula yang sama diguna oleh kerajaan untuk naikkan harga minyak, rakyat semakin tidak tidur malam, sekali naik 80 sen," ujarnya.
Ringkasan AI
- Dr Mohamad Khir Toyo menyeru Kerajaan Madani membawa balik pakar formula mereka bagi menjelaskan kenaikan harga minyak
- Formula semasa kerajaan dikatakan tidak jelas dan menyukarkan rakyat memahami kenaikan harga
- Harga minyak terkini petrol RON97 naik 60 sen kepada RM5.15 seliter (26 Mac–1 April)
- Diesel naik 80 sen di Semenanjung; Sabah, Sarawak dan Labuan kekal RM2.15 seliter
- Kenaikan harga minyak membebankan rakyat dan menjadi "rekod baharu" Kerajaan Madani
- Lonjakan harga global akibat konflik Asia Barat menyumbang kepada kenaikan harga minyak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

