Krisis bahan api: Bangladesh tutup universiti, sekolah

Krisis minyak kian meruncing di Bangladesh dan negara Asia yang lain.
Krisis minyak kian meruncing di Bangladesh dan negara Asia yang lain.
A
A
A

UNIVERSITI dan sekolah di Bangladesh terus ditutup sementara bagi menjimatkan tenaga susulan krisis tenaga global yang semakin meruncing akibat konflik di Asia Barat, sekali gus memberi kesan meluas kepada beberapa negara di rantau Asia.

Langkah penutupan itu melibatkan institusi utama termasuk Universiti Dhaka serta sekolah-sekolah di beberapa kawasan, selain turut menyaksikan perkhidmatan bas sekolah dihentikan sebagai usaha mengurangkan penggunaan tenaga secara keseluruhan.

Krisis yang berpanjangan ini turut memaksa negara lain mengambil tindakan drastik. Di Myanmar, kerajaan melaksanakan sistem catuan bahan api melibatkan kenderaan persendirian melalui kaedah nombor plat ganjil-genap sejak awal Mac. Kenderaan hanya dibenarkan berada di jalan raya mengikut tarikh tertentu, manakala kenderaan elektrik dikecualikan daripada sekatan berkenaan.

Majlis Pertahanan dan Keselamatan Negara (NDSC) turut memberi amaran keras terhadap aktiviti penyorokan bahan api untuk dijual semula pada harga tinggi, dengan tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap pelanggar.

Di Filipina, pengguna beratur panjang di stesen minyak menjelang kenaikan harga bahan api antara 17 hingga 24 peso bermula 10 Mac. Situasi itu mencetuskan bantahan kecil apabila aktivis menggesa kerajaan mengawal harga.

Di Korea Selatan pula, orang ramai memenuhi stesen minyak di Seoul untuk mengisi petrol lebih awal sebelum kenaikan harga, mencerminkan kebimbangan terhadap ketidaktentuan pasaran tenaga.

Sementara itu, di India, kekurangan gas petroleum cecair (LPG) memaksa restoran beralih kepada penggunaan kayu api, sekali gus menjejaskan operasi, mengurangkan menu dan menyebabkan penurunan perniagaan sehingga 70 peratus.

Di Nepal, pengguna beratur panjang dengan membawa silinder gas kosong selepas syarikat minyak milik negara mengarahkan penjualan silinder separuh penuh bagi menjimatkan bekalan.

Thailand turut melaksanakan langkah penjimatan tenaga dengan menggalakkan penjawat awam bekerja dari rumah, mengurangkan penggunaan penghawa dingin serta melonggarkan kod pakaian rasmi bagi menghadapi suhu tinggi.

Sri Lanka pula mengumumkan catuan bahan api berkuat kuasa serta-merta, manakala di Pakistan, krisis tenaga memaksa liga kriket domestik dianjurkan tanpa penonton bagi mengurangkan penggunaan bahan api.

Dalam masa sama, Pakistan meningkatkan pergantungan kepada sumber tenaga domestik seperti hidro, arang batu dan tenaga boleh diperbaharui bagi mengurangkan kebergantungan kepada import gas asli cecair (LNG).

Krisis ini berpunca daripada gangguan rantaian bekalan global susulan konflik melibatkan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran, yang turut menjejaskan laluan strategik Selat Hormuz, antara laluan utama penghantaran minyak dunia.

Harga minyak global dilaporkan melonjak sehingga 25 peratus, dengan minyak mentah Brent mencatat kenaikan harian terbesar, sekali gus meningkatkan kos penghantaran dan tekanan ekonomi di peringkat global.

Perkembangan ini menunjukkan krisis tenaga kini menjadi cabaran global yang memberi kesan langsung kepada kehidupan harian rakyat, termasuk sektor pendidikan seperti yang berlaku di Bangladesh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!