Rayuan 1MDB, 10 syarikat lain terhadap Rosmah 6 April ini

Rosmah - Foto fail Bernama
Rosmah - Foto fail Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan menetapkan 6 April ini untuk mendengar rayuan yang difailkan oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bersama 10 syarikat lain berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak penggunaan satu afidavit dalam permohonan injunksi Mareva terhadap Datin Seri Rosmah Mansor.

Peguam kepada isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak iaitu Datuk Seri Rajan Navaratnam ketika dihubungi Bernama mengesahkan tarikh itu ditetapkan dalam pengurusan kes sebelum ini.

Beliau turut memaklumkan, satu lagi pengurusan kes berasingan diadakan pada Khamis di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Nor Rajiah Mat Zin bagi memastikan semua dokumen berada dalam keadaan teratur.

Pada 10 November tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan 1MDB dan 10 syarikat terbabit untuk menggunakan afidavit milik warga Singapura, Shabnam Naraindas Daswani bagi menyokong permohonan injunksi Mareva mereka.

1MDB sebelum ini memohon mahkamah menerima afidavit Shabnam sebagai sokongan kepada permohonan membekukan aset milik Rosmah melalui injunksi Mareva.

Saman yang difailkan pada 9 Mei 2024 itu melibatkan 1MDB dan lima anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, Global Diversified Investment Company Limited serta SRC International Sdn Bhd.

Lima lagi syarikat terlibat ialah Affinity Equity International Partners Limited, Alsen Chance Holdings Limited, Blackrock Commodities (Global) Limited, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited dan Brightstone Jewellery Limited.

Kesemua plaintif memohon perintah mahkamah supaya Rosmah membayar sebanyak AS$346,010,489 atau jumlah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Mereka turut memohon pengisytiharan bahawa plaintif pertama hingga keenam adalah pemilik sah barangan mewah yang didakwa berada dalam milikan Rosmah.

Pada peringkat awal, saman itu menamakan Rosmah dan Shabnam masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.

Bagaimanapun pada April tahun lepas, 1MDB bersama syarikat terbabit menarik balik saman terhadap Shabnam.- Bernama

Ringkasan AI

  • Mahkamah Rayuan menetapkan 6 April untuk mendengar rayuan 1MDB dan 10 syarikat lain berkenaan keputusan Mahkamah Tinggi menolak afidavit dalam permohonan injunksi Mareva terhadap Rosmah Mansor
  • Penolakan permohonan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berlaku pada 10 Nov tahun lepas berkaitan penggunaan afidavit Shabnam Naraindas Daswani
  • 1MDB ingin afidavit Shabnam digunakan sebagai sokongan untuk membekukan aset Rosmah melalui injunksi Mareva
  • Saman yang melibatkan 1MDB dan lima anak syarikatnya serta lima syarikat lain memohon Rosmah membayar AS$346,010,489 atau jumlah yang difikirkan wajar oleh mahkamah
  • Pada peringkat awal, saman menamakan Rosmah dan Shabnam sebagai defendan tetapi 1MDB menarik balik saman terhadap Shabnam pada April tahun lepas

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!