Naratif konflik mazhab satu pembodohan - Mohamad Sabu

Naratif yang cuba menggambarkan konflik dunia Islam hari ini sebagai pertembungan mazhab adalah satu pembodohan.
Naratif yang cuba menggambarkan konflik dunia Islam hari ini sebagai pertembungan mazhab adalah satu pembodohan.
A
A
A

SHAH ALAM - Naratif yang cuba menggambarkan konflik dunia Islam hari ini sebagai pertembungan mazhab adalah satu pembodohan.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia sengaja dibentuk untuk memecah-belahkan umat.

Menurut beliau, hakikatnya, sejarah dan perkembangan semasa membuktikan bahawa isu mazhab hanyalah alat sedangkan pertarungan sebenar adalah soal kuasa, pengaruh dan kepentingan geopolitik yang didorong oleh Israel serta sekutunya Amerika Syarikat dan Britain.

"Dalam perang Iran-Iraq selama lapan tahun, isu mazhab dimainkan untuk membakar sentimen kononnya Sunni menentang Syiah.

"Namun sebelum revolusi, Iran di bawah Shah yang bermazhab Syiah adalah sekutu kuat Amerika dan Israel. Ketika itu, tidak timbul langsung isu mazhab.

"Ini membuktikan bahawa mazhab hanya dibangkitkan untuk kepentingan kuasa besar," katanya menerusi laman Facebook pada Khamis.

Tambah Mohamad, kini apabila Amerika Syarikat dan Israel berdepan secara terbuka dengan Iran, isu mazhab kembali dihidupkan.

Jelasnya, bagaimanapun semua pihak harus sedar bahawa ia adalah strategi lama yang diulang, memecah-belahkan umat Islam supaya mereka tidak bersatu menentang kezaliman.

"Lebih menarik, konflik semasa bukan lagi semata-mata peperangan konvensional, tetapi telah beralih kepada peperangan teknologi melibatkan keupayaan pertahanan, kecerdasan, dan penguasaan sistem moden.

"Ini menandakan perubahan besar dalam landskap geopolitik dunia, di mana kuasa Barat juga menunjukkan tanda-tanda perpecahan dalaman, termasuk dalam blok Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

"Dalam perkembangan ini, kita melihat semakin ramai umat Islam merentasi mazhab mula menyedari hakikat sebenar," ulasnya.

Beliau turut memberitahu, sokongan terhadap perjuangan Palestin kini datang daripada pelbagai latar belakang, membuktikan bahawa kesedaran umat sedang berkembang dan tidak lagi mudah dipermainkan dengan sentimen mazhab.

"Kesimpulannya, pertembungan hari ini bukanlah antara Sunni dan Syiah. Ia adalah pertembungan antara keadilan dan kezaliman, antara yang tertindas dan yang menindas.

"Mazhab hanyalah topeng yang digunakan oleh kuasa luar untuk mengekalkan dominasi mereka. Umat Islam perlu keluar daripada perangkap ini dan melihat dunia dengan lensa yang lebih jernih dan berani," katanya.

Ringkasan AI

  • Naratif pertembungan mazhab dalam dunia Islam adalah pembodohan yang sengaja dibentuk untuk memecah-belahkan umat
  • Konflik sebenarnya berkisar pada kuasa, pengaruh, dan kepentingan geopolitik yang didorong oleh Israel dan sekutunya Amerika Syarikat dan Britain
  • Mazhab hanyalah alat yang digunakan oleh kuasa besar untuk mencapai kepentingan mereka, seperti dalam perang Iran-Iraq
  • Strategi memecah-belahkan umat Islam dengan isu mazhab adalah taktik lama yang kini diikuti dengan peperangan teknologi dan perubahan geopolitik
  • Kesedaran umat Islam sedang berkembang, menunjukkan sokongan terhadap perjuangan Palestin yang melintasi mazhab dan melawan naratif pertembungan mazhab yang diciptakan oleh kuasa luar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!