Pendekatan defensif PKR terhadap isu rasuah tidak bantu redakan keadaan - Nik Nazmi

Nik Nazmi
Nik Nazmi
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak sepatutnya mengambil pendekatan defensif berhubung dakwaan rasuah melibatkan seorang ahli Parlimen parti itu kerana ia tidak membantu meredakan keadaan.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kenyataan Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh menimbulkan persoalan susulan rasuah RM9.5 juta yang dikaitkan dengan seorang wakil rakyatnya.

"Pendekatan seperti ini bukan sahaja tidak membantu untuk meredakan keadaan tetapi menghantar mesej yang salah kepada rakyat dalam usaha memerangi rasuah.

"Pihak yang mendakwa mempunyai maklumat tidak seharusnya diugut ataupun ditekan," katanya dalam kenyataan yang dikongsi dalam bentuk video di media sosial pada Khamis.

Sebelum ini media melaporkan, PKR tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terus menyebarkan fitnah atau tohmahan terhadap kepimpinan parti itu tanpa sebarang asas yang sahih.

Fuziah dilaporkan berkata, parti itu memandang serius dakwaan tular kebelakangan ini yang cuba mengaitkan kepimpinan parti dengan tuduhan menerima sejumlah wang bagi tujuan menyelesaikan urusan berkaitan kepentingan tertentu termasuk dakwaan melibatkan elemen 'mafia korporat'.

Dalam pada itu Nik Nazmi berkata, PKR juga tidak boleh mengambil sikap menolak terus atau memandang ringan dakwaan yang timbul tanpa ada satu proses siasatan telus.

Beliau menjelaskan, membingkaikan dakwaan sebagai fitnah secara terburuk hanya akan menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap komitmen parti dalam soal integriti yang selama ini diperjuangkan.

"Pada masa yang sama prinsip kebertanggungjawaban perlu juga terpakai kepada semua pihak termasuklah mereka yang membuat dakwaan bahawa adanya isu rasuah ini.

Artikel Berkaitan:

"Rakyat akan membandingkan sikap parti ketika menjadi pembangkang, membongkar skandal-skandal seperti 1MDB dan NFC berbanding sikap berada dalam kerajaan pada hari ini.

"Realitinya, ini bukan lagi soal persepsi politik semata-mata tetapi soal kepercayaan PKR perlu sedar, rakyat sedang memerhati dan menilai," katanya.

Menurutnya, pada masa ini, rakyat tidak akan terkesan dengan retorik tetapi dengan keberanian untuk membetulkan keadaan dan memastikan kebenaran bongkar.

"Untuk makluman semua, saya bukanlah ahli Parlimen yang menerima RM9.5 juta tersebut," katanya.

Ringkasan AI

  • PKR tidak sepatutnya defensif berhubung dakwaan rasuah melibatkan ahli Parlimen mereka
  • Nik Nazmi mengkritik kenyataan Setiausaha Agung PKR yang menimbulkan lebih banyak persoalan
  • Pendekatan defensif PKR dilihat sebagai salah hantar mesej dalam usaha memerangi rasuah
  • Nik Nazmi menekankan pentingnya proses siasatan yang telus dan tidak menolak dakwaan tanpa siasatan
  • Beliau mengingatkan tentang kepentingan kebertanggungjawaban dan integriti, serta bagaimana rakyat membandingkan sikap PKR dengan masa lalu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!