Wanita tular berlumuran darah dicederakan suami

IPOH - Seorang wanita berlumuran darah yang tular menerusi satu rakaman video di media sosial baru-baru ini disahkan akibat dicederakan suaminya.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Muhammad Najib Hamzah berkata, suami mangsa yang juga pemandu lori berusia 31 tahun telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.
Menurutnya, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan serta Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
"Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan majistret.
“Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 terhadap tertuduh,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, suspek ditahan pada Selasa lalu selepas menerima laporan daripada mangsa, seorang wanita berusia 41 tahun, kira-kira jam 10.50 malam pada hari sama.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada pertengkaran mulut antara mangsa dan suaminya yang berada dalam keadaan mabuk ketika insiden berlaku.
“Polis turut mengesan satu hantaran tular di aplikasi Threads yang memaparkan seorang wanita dalam keadaan berlumuran darah meminta pertolongan di kawasan Desa Pengkalan Timah, Lahat.
“Siasatan lanjut mengesahkan mangsa telah membuat laporan polis pada hari kejadian dan suspek berjaya ditahan pada hari sama,” katanya.
Ringkasan AI
- Seorang wanita berlumuran darah tular di media sosial disahkan dicederakan oleh suaminya
- Suami mangsa, seorang pemandu lori berusia 31 tahun, telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret
- Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994
- Tertuduh mengaku tidak bersalah dan mahkamah membenarkan jaminan RM3,000
- Kejadian dipercayai berpunca dari pertengkaran antara mangsa dan suami yang mabuk
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

