Warga SPRM diminta kekal berintegriti, tidak terpengaruh persepsi negatif

AZAM
AZAM
A
A
A

PUTRAJAYA – Kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diseru untuk terus menjunjung integriti dan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang kritikan atau persepsi negatif dalam melaksanakan tugas membanteras rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, setiap pegawai dan kakitangan perlu kekal berpegang teguh kepada prinsip serta fokus terhadap amanah yang dipikul demi kepentingan rakyat.

"Ramadan yang baru dilalui bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, sebaliknya menjadi medan membina disiplin, mengukuhkan kawalan diri serta memperhalusi nilai integriti dalam diri setiap individu.

“Nilai inilah yang perlu diterjemahkan dalam setiap tindakan dan pelaksanaan tugas harian, khususnya dalam memastikan usaha memerangi rasuah terus dilaksanakan dengan penuh kejujuran dan profesionalisme,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau turut menegaskan bahawa warga agensi itu perlu bersedia berdepan pelbagai cabaran termasuk kritikan, persepsi negatif dan fitnah yang boleh menjejaskan reputasi organisasi.

"Terdapat pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan ketegasan penguatkuasaan undang-undang sehingga sanggup menyebarkan naratif tidak benar.

“Namun kita tidak boleh dan tidak akan terpesong daripada tanggungjawab yang telah diamanahkan,” tegasnya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan agar setiap warga SPRM terus mengekalkan disiplin tinggi serta komitmen tidak berbelah bahagi dalam melaksanakan tugas.

Tambahnya, integriti perlu dijadikan asas utama manakala disiplin menjadi kekuatan dalam memastikan kepercayaan rakyat terhadap agensi itu terus terpelihara.

Ringkasan AI

  • Kakitangan SPRM diseru menjunjung integriti dan tidak terpengaruh dengan kritikan atau persepsi negatif dalam membanteras rasuah
  • Ketua Pesuruhjaya SPRM mengingatkan pegawai dan kakitangan untuk kekal berpegang teguh kepada prinsip dan fokus pada amanah demi kepentingan rakyat
  • Ramadan dijadikan contoh untuk membina disiplin, kawalan diri, dan memperhalusi nilai integriti dalam diri setiap individu
  • Warga SPRM perlu bersedia berdepan dengan cabaran, kritikan, persepsi negatif dan fitnah yang boleh menjejaskan reputasi organisasi
  • Integriti dijadikan asas utama dan disiplin menjadi kekuatan dalam memastikan kepercayaan rakyat terhadap SPRM terus terpelihara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!