X

Kindly register in order to view this article
!

Amaran kepada peniaga online!

Rosol (kanan) mencuba makanan disediakan sukarelawan untuk pelajar UMT yang tinggal di sana sepanjang tempoh PKP berlangsung.
A
A

KUALA NERUS – Peniaga yang menjalankan perniagaan dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan sesuka hati.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dah Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya boleh mengambil tindakan sekiranya terdapat aduan berlakunya kenaikan harga melampau daripada pengguna.

Menurutnya, penguat kuasa KPDNHEP menjalankan pemantauan berterusan di platform digital bagi mengelak manipulasi harga pelbagai barangan keperluan seperti topeng muka, cecair pembasmi kuman, makanan dan sebagainya.

“Peniaga online (dalam talian) kena ada etika, jangan aniaya pengguna dan tidak mengambil kesempatan dengan naikkan harga melampau. Semua orang mahu duit tapi perlu ada pertimbangan dan perikemanusiaan.

“Sekiranya ada aduan dan didapati berasas, KPDNHEP boleh mengambil tindakan terhadap mana-mana peniaga mengikut Seksyen 11, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AkHAP) 2011," katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir menyampaikan sumbangan Food Bank Siswa kepada mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Kolej Kediaman Sheikh Abdul Malik di sini hari ini.

Hadir sama Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar dan Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.

Seramai 1,752 pelajar UMT menjalani PKP di sana dan daripada jumlah itu, 846 pelajar tinggal di luar kampus.

Rosol berkata, KPDNHEP melalui Yayasan Food Bank Malaysia membantu meringankan beban pelajar yang terkandas semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dengan menyalurkan sumbangan kepada 129 institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara.

Beliau berkata, melalui program itu juga seramai 2,694 pelajar di 11 IPT Terengganu turut menerima bantuan melibatkan 15 metrik tan bekalan makanan.

“KPDNHEP meneruskan program Food Bank Malaysia dalam tempoh PKP fasa satu dan dua, kita berjaya menghantar kira-kira 10 tan makanan ke negara Timur Tengah sebagai pertukaran dengan 'test kit' dan sebagainya,” katanya.

Untuk rekod, sehingga Januari 2020, seramai 622,726 isi rumah dari golongan B40 telah menerima manfaat daripada program Food Bank Malaysia dan membantu 12,851 pelajar di 25 IPT seluruh negara.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!