KPDN kaji insentif kepada peniaga Menu Rahmah

Salahuddin (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan Wakalah Zakat Koporat kepada salah seorang penerima pada Sabtu.
Salahuddin (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan Wakalah Zakat Koporat kepada salah seorang penerima pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menjalankan kajian menyeluruh dalam masa terdekat bagi mengkaji insentif kepada peniaga yang terlibat dalam pelaksanaan Menu Rahmah yang diperkenalkan Februari lalu.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kajian terbabit dicadang untuk dijalankan selepas sambutan Aidilfitri nanti.

Katanya, tempoh empat hingga enam bulan pasca pelaksanaan program terbabit adalah masa yang tepat untuk kerajaan membuat kajian dan penambahbaikan.

"Kita akan dapatkan fakta yang meliputi lokasi dan bentuk menu yang ditawarkan peniaga, selain itu ia akan turut melibatkan proses menemuduga peniaga mengenai bentuk bantuan yang mereka perlukan," katanya ketika sidang media selepas merasmikan Program Semarak Niaga SSM dan menyampaikan sumbangan Wakalah Zakat Koporat berjumlah RM100,000 kepada 500 penerima asnaf di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Pengarah SSM Kedah Ismanani Khazali.

Menurutnya, sejak pelaksanaan inisiatif terbabit Februari lalu, Menu Rahmah mendapat tarikan pelanggan dan mampu menjana keuntungan untuk peniaga.

"Jadi ini antara fakta yang kita sedang teliti dengan penuh bertanggungjawab. Kita faham ini adalah isu melibatkan keperluan peniaga dan rakyat," katanya.

Salahuddin menambah, seramai 1,148 peniaga bazar Ramadan yang ditemubual setakat ini menyifatkan ada peningkatan hasil jualan menerusi pengenalan Menu Rahmah.

"70 peratus peniaga memaklumkan mendapat keuntungan manakala selebihnya itu mereka kata ada keuntungan tetapi tidak pada kadar yang mereka jangka," katanya.