Kes pokok tumbang: Pampasan lebih RM800,000 jadi amaran kepada PBT - Lam Thye

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM – Keputusan mahkamah yang mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membayar pampasan kepada keluarga mangsa maut akibat dihempap pokok tumbang menjadi peringatan tegas terhadap tanggungjawab penyelenggaraan dan keselamatan awam.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Lee Lam Thye berkata, keputusan itu amat signifikan dan memberi pengajaran penting kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, insiden tragis tersebut menonjolkan kelemahan dalam aspek penyelenggaraan, khususnya melibatkan pokok-pokok di kawasan awam.

"Usaha menghijaukan bandar memang wajar dipuji, namun ia mesti disertai dengan pemeriksaan berkala, penilaian risiko dan kerja penyelenggaraan yang konsisten.

"Tanpa penjagaan rapi, pokok di tepi jalan terutama yang berusia atau lemah boleh menjadi ancaman serius kepada orang ramai, khususnya ketika cuaca buruk," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan Datuk Bandar Kuala Lumpur membayar ganti rugi berjumlah RM824,180 kepada sepasang suami isteri yang anak lelaki mereka maut akibat dihempap pokok tumbang di pembahagi jalan awam di bawah selenggaraan DBKL.

Hakim Effandi Nazila Abdullah memutuskan demikian selepas membenarkan tuntutan yang difailkan oleh Gooi Ling Sim, 61, dan Phun Kok Hoi, 63, selaku tanggungan kepada mendiang Phun Mun Lap, 30, terhadap Datuk Bandar Kuala Lumpur selaku defendan.

Dalam pada itu Lam Thye menegaskan, tanggungjawab penyelenggaraan bukan hanya terhad kepada pokok, sebaliknya melibatkan keseluruhan kemudahan awam termasuk jalan berlubang, laluan pejalan kaki rosak, lampu jalan tidak berfungsi serta struktur tidak stabil.

Malah tegasnya, kegagalan penyelenggaraan boleh mendedahkan orang ramai kepada risiko kemalangan yang sebenarnya boleh dielakkan.

"Penghakiman ini juga memberi mesej jelas bahawa sekiranya kecuaian menyebabkan kemudaratan, orang awam mempunyai hak untuk membawa perkara tersebut ke muka pengadilan.

"Pihak berkuasa yang diamanahkan mengurus ruang awam mesti melaksanakan tanggungjawab dengan penuh teliti dan bertanggungjawab.

"Hakikatnya, pencegahan adalah jauh lebih penting daripada pampasan. Tiada jumlah wang yang mampu menggantikan nyawa yang telah terkorban," katanya.

Ringkasan AI

  • Keputusan mahkamah mengarahkan DBKL bayar pampasan kepada keluarga mangsa maut akibat pokok tumbang peringatan tegas tentang tanggungjawab penyelenggaraan
  • Keputusan mahkamah memberi pengajaran penting kepada semua pihak berkuasa tempatan
  • Penyelenggaraan pokok di kawasan awam penting untuk keselamatan, perlu diiringi dengan pemeriksaan berkala dan penilaian risiko
  • Makhkamah memerintahkan Datuk Bandar Kuala Lumpur bayar ganti rugi RM824,180 kepada keluarga mangsa
  • Tanggungjawab penyelenggaraan meliputi seluruh aspek kemudahan awam, kegagalan boleh menyebabkan kemalangan yang boleh dielakkan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!