Kedai gunting rambut Mr D dunia fantasi buat anak autisme

DARI luar, kedai gunting rambut Mr D kelihatan seperti salun biasa yang terdapat di deretan kedai di bandar ini.
Namun sebaik melangkah masuk ke dalamnya, suasana berubah menjadi penuh warna-warni dengan pelbagai permainan, gula-gula serta hiasan ceria yang seolah-olah membawa pelanggan ke sebuah dunia fantasi.
Di sini Sivarajah Darmalingam, 48, menghabiskan sebahagian besar masanya yang bukan sekadar menggunting rambut, tetapi menawarkan ruang untuk mentafsirkan kasih sayang, kesabaran dan harapan.
Meneruskan legasi bapanya, Darmalingam Manickam untuk memberi perkhidmatan gunting rambut kepada golongan istimewa itu, Sivarajah atau mesra disapa Raja berkata, segalanya bermula pada tahun 2006.

"Mr D (bapa) sengaja menghias salun dengan pelbagai elemen menarik perhatian seperti objek berwarna-warni, permainan dan bunyi yang menenangkan, mengikut kesukaan anak-anak autisme.
"Kanak-kanak ini suka berada dalam dunia fantasi. Pendekatan itu membantu mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran sebelum rambut digunting," katanya kepada Sinar Harian.
Di sebalik usaha yang dilakukan, tersimpan kisah peribadi yang menjadi sumber kekuatan Mr D.
Raja memberitahu, bapanya mula minat untuk membantu kanak-kanak berkeperluan khas berdasarkan pengalaman menjaga adik perempuannya, Malini, yang juga menghidap autisme.
Menurutnya, arwah ibu saudaranya itu amat rapat dengan bapanya dan sering menunjukkan kegembiraan setiap kali menggayakan rambut.

"Pengalaman menjaga adiknya itu akhirnya menjadi inspirasi yang mendorong Mr D mempelajari bidang penggayaan rambut secara profesional.
"Untuk mengawal kanak-kanak autisme memerlukan kesabaran dan itulah asas utama apabila berhadapan dengan mereka," ujarnya.
Bagi seorang ibu, Nasuha Taufek Suhaimi, 34, kedai gunting rambut itu menjadi pilihan utama untuk anaknya, Nik Muammar Nik Mohd Arif Mustaqim, 7.
Wanita dari Sungai Merab itu berkata, anaknya lebih selesa dan tenang apabila menggunting rambut di situ berbanding jika dilakukan sendiri di rumah.
"Kalau saya potong rambut dia di rumah, akhirnya jadi botak. Tapi bila datang sini, dia lebih tenang dan selesa.
"Agak susah untuk tenangkan dia sebab deria anak autisme sangat sensitif," katanya.
Seorang lagi pelanggan, Amir Bachtiar Zainuddin, 46, berkata, Raja mempunyai kemahiran dan kesabaran yang tinggi dalam mengendalikan kanak-kanak autisme.
Menurutnya, kanak-kanak autisme biasanya sukar menunggu dan sangat aktif, namun tukang gunting rambut itu tahu cara yang sesuai untuk menenangkan mereka.
"Dia memang terlatih mengendalikan kanak-kanak autisme. Seperti anak saya, dia tidak sabar dan sangat aktif, tetapi Raja tahu cara untuk menguruskannya," ujarnya.
Ringkasan AI
- Kedai gunting rambut Mr D di Bangi menghias salun mereka secara menarik untuk menarik perhatian kanak-kanak autisme
- Sivarajah Darmalingam menghabiskan sebahagian besar masanya menyediakan perkhidmatan gunting rambut sambil menawarkan ruang penuh kasih sayang dan kesabaran
- Mengikuti jejak langkah bapanya, Darmalingam Manickam, perkhidmatan khusus untuk kanak-kanak berkeperluan khas bermula pada tahun 2006
- Pengalaman menjaga adik perempuannya, Malini, yang menghidap autisme, menjadi sumber inspirasi Mr D untuk belajar bidang penggayaan rambut secara profesional
- Pelanggan yang mempunyai anak-anak autisme menganggap kedai Mr D sebagai pilihan utama kerana kemampuan mereka menenangkan dan menguruskan keperluan khas anak-anak tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

