Ekonomi dunia terjejas jika perang lebih 6 bulan - TotalEnergies


Harga minyak AS melepasi AS$100 setong
Harga minyak meningkat awal pagi Isnin selepas Amerika Syarikat (AS) dan Israel memberi amaran pada hujung minggu bahawa perang Iran yang telah mengganggu penghantaran minyak melalui Selat Hormuz akan berlarutan beberapa minggu lagi.
Harga minyak mentah penanda aras AS, West Texas Intermediate (WTI) bagi penghantaran Mei meningkat 1.78 peratus kepada AS$100.10 (sekitar RM470) setong, manakala minyak mentah Brent naik 1.73 peratus kepada AS$113.44 (sekitar RM533) setong beberapa minit selepas dagangan dibuka di Chicago Mercantile Exchange.
AS pertahan pelonggaran sekatan minyak Iran
Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent mempertahankan langkah sementara melonggarkan sekatan ke atas minyak Iran dan Rusia bagi meredakan ketidaktentuan pasaran.
Beliau berkata langkah itu mengurangkan keupayaan Iran menjual minyak pada harga tinggi, selain menyatakan minyak tersebut tetap akan dijual kepada China.
“Minyak Iran itu memang akan dijual kepada China dan pada harga diskaun... Jadi mana lebih baik? Jika harga minyak melonjak ke AS$150 dan mereka memperoleh 70 peratus daripadanya, atau harga minyak di bawah AS$100?” katanya dalam wawancara dengan NBC.
Air jadi sasaran baharu perang
Serangan terhadap sistem bekalan air jarang berlaku dalam peperangan, namun Iran mengancam untuk menyasarkan loji penyahgaraman selepas mendakwa infrastruktur air dan tenaganya rosak akibat konflik berterusan dengan Israel dan Amerika Syarikat.
Perang berpanjangan beri kesan besar
Jika perang berlanjutan lebih enam bulan, 'semua ekonomi dunia akan terjejas', kata ketua syarikat minyak Perancis, TotalEnergies.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Patrick Pouyanne berkata, konflik selama tiga hingga empat bulan masih boleh ditampung hasil simpanan minyak sedia ada.
Namun, penutupan Selat Hormuz oleh Iran yang menghalang laluan kira-kira 20 peratus bekalan minyak global akan memberi kesan sebenar jika perang berlarutan lebih lama.
Iran ancam tutup Selat Hormuz
Tentera Iran mengancam untuk menutup sepenuhnya Selat Hormuz jika Presiden AS, Donald Trump melaksanakan ancamannya menyasarkan loji janakuasa negara itu.
Kenyataan itu dibuat selepas Trump memberi tempoh 48 jam kepada Iran untuk membuka laluan tersebut, sambil memberi amaran AS akan memusnahkan loji janakuasa Iran jika gagal berbuat demikian.
“Selat Hormuz akan ditutup sepenuhnya dan tidak akan dibuka semula sehingga loji janakuasa kami yang musnah dibina semula,” menurut kenyataan Komando Operasi Tentera Iran, Khatam Al-Anbiya.
Macedonia Utara kurangkan cukai bahan api
North Macedonia mengurangkan cukai nilai tambah (VAT) ke atas petrol dan diesel daripada 18 peratus kepada 10 peratus, kata Perdana Menteri Hristijan Mickoski.
Langkah itu diambil bagi menangani kenaikan harga bahan api akibat perang.
Sri Lanka naikkan harga bahan api
Sri Lanka menaikkan harga petrol dan diesel lebih 25 peratus iaitu kenaikan kedua dalam tempoh dua minggu, sebagai persediaan menghadapi kesan berterusan konflik tersebut.
Vietnam, Rusia meterai kerjasama tenaga
Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh berlepas ke Russia untuk lawatan rasmi, di mana kedua-dua negara dijangka menandatangani beberapa perjanjian termasuk kerjasama minyak dan gas.
Lawatan itu berlangsung dari Ahad hingga Rabu, ketika Vietnam berusaha memperkukuh simpanan bahan api susulan gangguan bekalan global akibat perang.- AFP
Ringkasan AI
- Harga minyak AS melepasi AS$100 setong disebabkan amaran AS dan Israel tentang perang Iran yang mengganggu penghantaran minyak melalui Selat Hormuz
- Setiausaha Perbendaharaan AS mempertahankan pelonggaran sekatan minyak Iran dan Rusia untuk meredakan ketidaktentuan pasaran
- Iran mengancam akan menutup sepenuhnya Selat Hormuz jika AS menyasarkan loji janakuasa mereka
- Ketua syarikat minyak Perancis, TotalEnergies, mengatakan perang berlanjutan lebih enam bulan akan memberi kesan besar kepada semua ekonomi dunia
- Macedonia Utara kurangkan cukai bahan api untuk menangani kenaikan harga akibat perang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
