Eksperimen ubah suai mercun makan tuan

Penggunaan mercun yang tidak terkawal telah menyebabkan kecederaan serius dan kematian. Gambar hiasan
Penggunaan mercun yang tidak terkawal telah menyebabkan kecederaan serius dan kematian. Gambar hiasan
A
A
A

BUDAYA membakar mercun dalam apa jua perayaan sudah sinonim dalam kehidupan masyarakat khususnya kanak-kanak dan remaja.

Baik Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina atau Deepavali semuanya akan disertai dengan bunyi mercun dan bunga api di kawasan kediaman masing-masing.

Bagi sesetengah pihak, ia dianggap sebahagian daripada tradisi menyambut perayaan. Namun begitu, saban tahun juga kita disajikan dengan laporan kemalangan, kecederaan dan kerosakan harta benda akibat penggunaan mercun yang tidak terkawal.

Yang menghairankan kita adalah kes kudung tangan atau jari rata-ratanya melibatkan mangsa terdiri daripada orang Melayu.

Sumbu atau belerang yang dibakar sama setiap kali perayaan, namun jarang pula kedengaran dalam mana-mana akhbar orang Cina atau India kudung atau cedera akibat bermain mercun.

Adakah orang Melayu ini terlalu kreatif, suka memperbaharui segala jenis barang yang sampai ke tangan mereka.

Mereka mempunyai kreativiti luar biasa yang mengubah suai mercun bagi menghasilkan letupan lebih kuat atau bunyi lebih unik.

Ada dalam kalangan mereka yang menggabungkan beberapa jenis mercun bagi menghasilkan letupan lebih besar. Ada juga yang mencipta alat pelancar menggunakan paip, botol atau bekas logam untuk meningkatkan kesan letupan.

Itu salah satu contoh bagi menggambarkan bagaimana orang Melayu begitu gemar bereksperimen.

Artikel Berkaitan:

Walaupun ia sering dianggap sebagai bentuk kreativiti atau eksperimen, tindakan tersebut sebenarnya membawa risiko keselamatan yang besar.

Pada 17 Mac 2025 lalu, media tempatan melaporkan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun hampir putus dua jari selepas dipercayai terkena letupan mercun bola yang tidak sempat dilempar semasa bermain di halaman rumah.

Manakala, pada 25 Mac 2025, tiga buah rumah musnah dalam satu kebakaran di Kampung Kuala Bekah, Telok Air Tawar, Butterworth, Pulau Pinang yang dikatakan berpunca daripada anak bermain bunga api di dalam salah satu sebuah rumah.

Terbaharu pada 16 Mac 2026, seorang kanak-kanak lelaki cedera parah selepas dipercayai bermain mercun di dalam rumah sehingga menyebabkan jari telunjuk tangan kirinya putus dalam kejadian di Kampung Tempoyak, Merbok.

Statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga melaporkan lebih 200 kes kecederaan akibat mercun dilaporkan setiap tahun, termasuk kehilangan jari dan kebutaan.

Walaupun undang-undang seperti Akta Bahan Letupan 1957 memperuntukkan hukuman berat, penguatkuasaan yang lemah menyebabkan mercun terus beredar di pasaran gelap.

Padah akibat bermain mercun sehingga mengancam nyawa, menyebabkan kecederaan dan kecacatan pada tubuh badan atau menyebabkan kematian seseorang dianggap menjadi mudarat.

'Eksperimen' yang awalnya dianggap sekadar hiburan akhirnya bertukar menjadi senjata makan tuan.

Oleh itu, mercun adalah permainan atau hiburan tidak sepatutnya dijadikan 'hidangan' untuk menyambut Aidilfitri.

Aidilfitri sepatutnya disambut dalam suasana meriah, harmoni dan selamat. Hari raya bukan sahaja melambangkan kemenangan selepas sebulan berpuasa, malah menjadi waktu untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan kejiranan tanpa sebarang insiden yang boleh mencemarkan kegembiraan perayaan.

*Azie Yahaya ialah Sub Editor Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!