'Rafizi hipokrit, tak konsisten isu syarikat' - Aktivis politik

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli disifatkan hipokrit dan tidak konsisten dalam pendirian berhubung isu syarikat yang didakwa bermasalah, khususnya apabila beliau kini lantang bersuara berbanding ketika memegang jawatan dalam kerajaan sebelum ini.
Aktivis politik, Faizan Mohd Nor mendakwa sepanjang tempoh Rafizi berkhidmat sebagai Menteri Ekonomi dari Disember 2022 hingga Jun 2025, tiada kenyataan terbuka dibuat berhubung syarikat-syarikat yang kini dipersoalkan.
Menurutnya, dalam tempoh hampir tiga tahun tersebut, terdapat syarikat yang sama terus menerima kontrak baharu atau lanjutan kontrak daripada kerajaan.
“Tempoh hampir tiga tahun bukan singkat. Namun, ketika itu tiada kenyataan terbuka mengenai isu syarikat terbabit.
“Kini, beliau dilihat lebih lantang menyuarakan kritikan seolah-olah tidak pernah berada dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Faizan turut berpandangan bahawa kenyataan terbuka berkenaan syarikat tertentu boleh memberi kesan kepada persepsi umum terhadap imej korporat tempatan, khususnya dalam kalangan pelabur dan masyarakat.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan komitmen kerajaan untuk memperkukuh ekosistem perniagaan negara serta memudah cara pelaburan domestik.
Menurut beliau, Kabinet turut memberi tumpuan kepada usaha mempercepat pelaksanaan projek kerajaan dan mempermudah kelulusan aktiviti perniagaan, termasuk melibatkan tenaga kerja mahir dari luar negara dalam usaha merangsang pertumbuhan ekonomi.
Mengulas lanjut, Faizan berpendapat kepimpinan negara perlu dilihat konsisten dalam pendirian serta pendekatan, khususnya dalam isu yang melibatkan kepentingan ekonomi dan keyakinan pelabur.
Ringkasan AI
- Datuk Seri Rafizi Ramli disifatkan tidak konsisten dalam isu syarikat bermasalah sejak memegang jawatan
- Beliau tidak membuat kenyataan terbuka mengenai syarikat tersebut ketika berkhidmat sebagai Menteri Ekonomi
- Syarikat yang sama terus menerima kontrak baharu atau lanjutan kontrak daripada kerajaan selama hampir tiga tahun
- Kritikan terbuka oleh Rafizi kini dilihat berbeza dari sikapnya ketika dalam pentadbiran kerajaan
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim komited memperkukuh ekosistem perniagaan dan memudah cara pelaburan domestik
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
