Ringgit mengukuh ke paras tertinggi sejak 2021 berbanding dolar Singapura

SINGAPURA - Ringgit meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh lima tahun berbanding dolar Singapura hari ini, disokong oleh harga tenaga yang tinggi dan keyakinan yang semakin meningkat terhadap kecerdasan buatan (AI).
Menurut laporan Bloomberg, ringgit mengukuh 0.2 peratus kepada 3.0615 berbanding dolar Singapura pada Rabu sekali gus menunjukkan paras tertinggi yang dicapai sejak Mac 2021.
Ahli Strategi Goldman Sachs Group Inc., Danny Suwanapruti dipetik sebagai berkata, ringgit dijangka menjadi antara mata wang terbaik di Asia tahun ini.
"Berikutan gangguan di Selat Hormuz, dan kemungkinan untuk harga gas asli cecair meningkat, kami yakin Malaysia dalam kedudukan terbaik di rantau ini untuk mengharungi kejutan tenaga global.
"Kami kekal optimis terhadap ringgit dan mengekalkan saranan perdagangan untuk menjual dolar Singapura dan membeli ringgit,” menurut laporan itu.
Pada 3.16 petang, ringgit berada pada 3.0633/0663 berbanding dolar Singapura daripada 3.0635/0673 semasa ditutup pada Selasa. - Bernama
Ringkasan AI
- Ringgit meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh lima tahun berbanding dolar Singapura
- Disokong oleh harga tenaga yang tinggi dan keyakinan yang meningkat terhadap kecerdasan buatan
- Pada Rabu, ringgit mengukuh 0.2 peratus kepada 3.0615 berbanding dolar Singapura
- Danny Suwanapruti dari Goldman Sachs Group Inc. menjangka ringgit akan menjadi mata wang terbaik di Asia
- Malaysia dalam kedudukan terbaik di rantau ini untuk mengharungi kejutan tenaga global
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
