Lelaki ditahan bawa dadah RM1.5 juta disorok dalam kotak botol arak

Jauteh (tengah) menunjukkan dadah yang disorokkan dalam bongkah kayu atau kotak botol arak dalam sidang akhbar di IPK Sabah.
Jauteh (tengah) menunjukkan dadah yang disorokkan dalam bongkah kayu atau kotak botol arak dalam sidang akhbar di IPK Sabah.
A
A
A

KOTA KINABALU - Taktik seorang lelaki menggunakan bongkah kayu tempat penyimpanan botol arak untuk menyembunyikan dadah bernilai RM1.5 juta gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila dia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini pada Rabu lalu.

Suspek warga tempatan berusia 36 tahun itu dipercayai berperanan sebagai 'transporter' dan baru tiba dengan penerbangan dari Kuala Lumpur kira-kira jam 11.15 malam sebelum ditahan bersama bagasi yang mengandungi dadah jenis methamphetamine seberat 30.30 kilogram.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, tangkapan dibuat susulan maklumat risikan berkaitan cubaan membawa masuk dadah ke negeri ini.

Menurutnya, operasi bersepadu antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sabah dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya mengesan suspek sejurus tiba di KKIA.

"Pemeriksaan dibuat terhadap seorang lelaki bersama rampasan tiga kotak yang dipercayai mengandungi bahan terlarang. Hasil pemeriksaan mendapati bungkusan dadah disorokkan dalam bongkah kayu minuman keras.

"Hasil pemeriksaan lanjut menganggarkan jumlah keseluruhan dadah adalah 30.30 kilogram dengan nilai pasaran sekitar RM1.5 juta, dipercayai untuk pasaran tempatan dan negara jiran," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini pada Rabu.

Dadah yang disembunyikan dalam bongkah kayu atau kotak botol arak.
Dadah yang disembunyikan dalam bongkah kayu atau kotak botol arak.

Mengulas lanjut, Jauteh berkata, siasatan awal mendapati suspek bertindak sebagai ‘transporter’ yang membawa dadah tersebut dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu sebelum diserahkan kepada individu lain.

Artikel Berkaitan:

"Suspek menerima barang ini dan datang ke Sabah sebelum menyerahkannya kepada seorang lagi individu yang dipercayai pembekal. Individu berkenaan masih dalam siasatan pihak PDRM dan AKPS bagi mendapatkan maklumat lanjut," katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan modus operandi menggunakan bongkah kayu bukan sesuatu yang baharu, malah mempunyai persamaan dengan kes yang pernah dikesan sebelum ini.

"Pada awal Februari lalu, kita mengesan kaedah penyeludupan dadah menggunakan papan pemotong untuk dibawa ke Sabah dan modus operandi kali ini hampir sama iaitu menyembunyikan dadah dalam bongkah kayu atau kotak arak.

"Bagaimanapun, dipercayai ini adalah kali pertama suspek terbabit terlibat sebagai ‘transporter’ dalam kegiatan ini," katanya.

Susulan itu, katanya, suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ringkasan AI

  • Seorang lelaki gunakan kayu tempat penyimpanan botol arak sembunyi dadah RM1.5 juta di KKIA
  • Suspek 36 tahun bertindak sebagai 'transporter', bawa dadah methamphetamine 30.30 kilogram dari Kuala Lumpur
  • PDRM dan AKPS berjaya tahan suspek susulan maklumat risikan, dadah untuk pasaran tempatan dan negara jiran
  • Modus operandi menggunakan bongkah kayu bukan baru, pernah digunakan dalam penyeludupan sebelum ini
  • Suspek kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!