Kilang padi MADA harapan baharu pesawah

Kerajaan meluluskan peruntukan RM45.6 juta bagi pembinaan kilang padi milik MADA di Megat Dewa, Jerlun.
Kerajaan meluluskan peruntukan RM45.6 juta bagi pembinaan kilang padi milik MADA di Megat Dewa, Jerlun.
A
A
A

USAHA kerajaan meluluskan peruntukan RM45.6 juta bagi pembinaan kilang padi milik Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Megat Dewa, Jerlun di Kedah bukan sekadar projek pembangunan biasa, sebaliknya dilihat sebagai langkah strategik memperkukuh ekonomi pesawah dan rantaian industri padi negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu telah memberi isyarat jelas bahawa kerajaan semakin memberi perhatian serius terhadap isu keterjaminan makanan negara, khususnya bekalan beras.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, isu bekalan beras tempatan sering menjadi perbincangan hangat. Kadar Sara Diri (SSR) beras negara masih berada pada tahap sederhana iaitu sekitar 52.6 peratus bagi Malaysia dan 58.3 peratus untuk Semenanjung.

Justeru, sasaran meningkatkan SSR kepada 70 peratus menjelang 2030 adalah satu agenda besar yang memerlukan perubahan struktur dalam industri padi negara.

Malaysia perlu mengukuhkan industri makanan negara bagi menjamin keselamatan bekalan makanan rakyat terutama ketika berdepan krisis global, perubahan iklim dan gangguan rantaian bekalan.

Pengukuhan sektor pertanian juga mampu mengurangkan kebergantungan kepada import makanan, menstabilkan harga dan meningkatkan pendapatan petani dan pesawah.

Langkah itu penting bagi memastikan negara kekal berdaya tahan dan mampu memenuhi keperluan makanan pada masa depan.

Dalam konteks ini, pembinaan kilang padi milik MADA boleh dianggap sebagai langkah penting untuk mengukuhkan rantaian nilai industri tersebut.

Selama ini sebahagian besar pemprosesan dan pemasaran beras dikuasai pihak swasta atau orang tengah, menyebabkan pesawah sering berada di kedudukan paling lemah dalam rantaian ekonomi itu.

Artikel Berkaitan:

Apabila MADA mempunyai kilang pemprosesan sendiri, peluang untuk mengawal sebahagian rantaian industri akan menjadi lebih besar.

Padi yang dihasilkan pesawah dapat diproses secara lebih tersusun dan berpotensi memberikan pulangan ekonomi lebih baik kepada mereka.

Langkah ini juga sejajar dengan usaha kerajaan memperkasa sektor pertanian melalui pendekatan menyeluruh, bukan hanya tertumpu kepada pengeluaran tetapi turut melibatkan aspek pemprosesan, pemasaran dan logistik.

Namun, pembinaan kilang padi sahaja tidak mencukupi sekiranya isu asas yang membelenggu pesawah tidak ditangani secara serentak.

Antara cabaran utama yang masih menghimpit golongan berkenaan ialah peningkatan kos pengeluaran termasuk harga baja, racun dan benih yang semakin mahal.

Infrastruktur pertanian seperti sistem pengairan dan saliran juga memainkan peranan penting menentukan tahap produktiviti sawah.

Dalam hal ini, usaha kerajaan menyelenggara sehingga 2,000 kilometer tali air dan menaik taraf lebih 1,300 kilometer jalan pertanian adalah langkah amat penting.

Jika semua inisiatif itu dilaksanakan secara berkesan, ia berpotensi meningkatkan purata hasil padi sehingga 6.1 tan sehektar seperti disasarkan.

Hakikatnya, sektor padi bukan sekadar soal ekonomi semata-mata tetapi turut berkait rapat dengan keselamatan makanan dan kestabilan sosial negara.

Justeru, pembinaan kilang padi MADA wajar dilihat sebagai sebahagian strategi jangka panjang bagi memastikan pesawah tidak terus terpinggir dalam arus pembangunan ekonomi negara.

Jika diurus dengan baik, inisiatif itu mampu menjadi pemangkin kepada transformasi industri padi dan mengembalikan nilai ekonomi yang lebih adil kepada pesawah.

*Wan Mohd Noor Hafiz Wan Mansor ialah Wartawan Sinar Harian Utara

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!