Kilang baharu proses padi MADA bantu pesawah hadapi tekanan kos

Dr Ismail semasa berucap pada majlis moreh bersama media di Ibu Pejabat MADA di Alor Setar pada malam Khamis.
Dr Ismail semasa berucap pada majlis moreh bersama media di Ibu Pejabat MADA di Alor Setar pada malam Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bakal membina kilang memproses padi sendiri bagi membantu pesawah menghadapi tekanan pelbagai kos pengeluaran yang semakin meningkat ketika ini.

Pengerusinya, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, kilang berkenaan dijangka mampu memproses sehingga 50,000 tan padi setahun atau iaitu kira-kira lima peratus daripada keseluruhan pengeluaran padi di kawasan MADA.

Menurutnya, langkah tersebut bertujuan memastikan lebih banyak nilai ekonomi dalam industri padi dapat dinikmati secara terus oleh pesawah di kawasan MADA.

“Hari ini, kebanyakan pesawah kini semakin terhimpit dengan kenaikan kos pengeluaran termasuk harga baja, racun serta benih, selain berdepan harga lantai padi yang rendah.

“Situasi ini menyebabkan ramai pesawah berpendapatan rendah dan berdepan beban kewangan yang semakin berat saban tahun,” katanya semasa berucap pada majlis moreh bersama media di Ibu Pejabat MADA di sini pada malam Khamis.

Jelas Dr Ismail, projek pembinaan kilang padi itu sudah mendapat kelulusan kerajaan dan dijangka mula beroperasi pada tahun 2030.

Menurutnya, memiliki kilang memproses padi sendiri adalah langkah permulaan ke arah penguasaan yang lebih besar dalam industri padi.

“Selagi kita tidak menguasai keseluruhan rantaian industri ini, masalah pesawah akan terus berpanjangan kerana sebahagian besar keuntungan jatuh kepada pihak lain.

“Apabila kita mempunyai kilang sendiri nanti, padi yang dihasilkan pesawah akan dijual kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) sebelum dihantar ke kilang milik MADA untuk diproses,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, MADA juga menyasarkan untuk menguasai sekurang-kurangnya 30 peratus industri padi pada masa hadapan bagi memastikan kekayaan sektor berkenaan kembali kepada pesawah.

Beliau memberitahu, usaha itu juga selari dengan cadangan reformasi industri padi yang pernah disuarakan bekas Menteri Pertanian, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

“Cadangan itu termasuk usaha mengapungkan harga beras putih tempatan serta meningkatkan penguasaan agensi berkaitan peladang dalam industri padi,” katanya lagi.

Ringkasan AI

  • MADA akan membina kilang memproses padi sendiri untuk bantu pesawah menghadapi kos pengeluaran yang meningkat
  • Kilang tersebut dijangka mampu memproses 50,000 tan padi setahun, kira-kira lima peratus daripada pengeluaran padi di kawasan MADA
  • Langkah ini bertujuan meningkatkan nilai ekonomi kepada pesawah secara langsung
  • Projek kilang padi mendapat kelulusan kerajaan dan dijangka beroperasi pada tahun 2030
  • MADA menyasarkan menguasai sekurang-kurangnya 30 peratus industri padi pada masa hadapan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!