Scam kuih raya babit kerugian RM300,000 di Perak

GOPENG - Polis Perak mengesan sindiket penipuan melibatkan tempahan kuih raya dan juadah yang menyebabkan kerugian hampir RM300,000.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, jumlah kerugian itu melibatkan tujuh kes penipuan yang dilaporkan tahun ini dengan modus operandi sama.
Menurutnya, sindiket terbabit menyasarkan peniaga makanan terutama pengusaha katering dan pastri dengan membuat tempahan makanan atau kuih dalam jumlah tertentu sebelum memperdaya mangsa untuk membuat bayaran kepada pihak ketiga.
"Selepas tempahan dibuat, suspek biasanya akan menghubungi semula mangsa dan meminta item tambahan yang biasanya tidak dihasilkan oleh pengusaha berkenaan.
"Apabila pengusaha memaklumkan tidak dapat menyediakan item tambahan tersebut, suspek akan memberikan satu nombor telefon lain kononnya pembekal yang boleh membantu mendapatkan barangan itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 26 Sempena Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Perak Tahun 2026 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak di sini pada Selasa.
Noor Hisam berkata, modus operandi tersebut sebenarnya telah dikesan sejak tahun lalu dengan 66 kes penipuan direkodkan di negeri ini.
"Dalam kes ini, kedua-dua pihak sebenarnya adalah scammer. Jadi mangsa menanggung dua kerugian iaitu kos menyediakan tempahan makanan dan wang yang dibayar kepada pemilik nombor yang diberikan," katanya.
Beliau menasihatkan pengusaha supaya lebih berhati-hati apabila menerima tempahan, khususnya yang melibatkan jumlah besar.
"Jika melibatkan tempahan bernilai besar, sebaiknya berurusan secara bersemuka dan ambil deposit terlebih dahulu sebelum menyediakan pesanan.
"Sekurang-kurangnya jika ada deposit, kerugian dapat diminimumkan sekiranya berlaku penipuan," katanya.
Ringkasan AI
- Polis Perak mengesan sindiket penipuan tempahan kuih raya dan juadah dengan kerugian hampir RM300,000 Sindiket menyasarkan peniaga makanan terutama pengusaha katering dan pastri Sindiket menipu mangsa dengan meminta bayaran kepada pihak ketiga untuk item tambahan yang tidak dihasilkan oleh pengusaha Modus operandi sindiket telah dikesan sejak tahun lalu dengan 66 kes penipuan Mangsa menanggung kerugian dari kos penyediaan makanan dan pembayaran kepada nombor penipu, nasihat untuk berurusan secara bersemuka dan mengambil deposit
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

