Pertimbang bayaran BPN kepada M40 melalui e-Tunai Rakyat

Skim e-Tunai Rakyat
Skim e-Tunai Rakyat
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kewangan digesa mempertimbang semula kaedah pembayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kepada penerima M40 menerusi sistem e-Tunai Rakyat.

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan hari ini berkata, ini kerana keputusan kaedah pembayaran yang ditetapkan kerajaan iaitu melalui akaun Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk golongan M40 dilihat bermasalah.

Katanya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan isi rumah dengan pendapatan RM4,000 ke RM8,000 akan menerima bantuan RM1,000 dan dibayar pada bulan April dan Mei, manakala bantuan tunai 'one-off' RM500 diberi kepada individu bujang dengan pendapatan antara RM2,000 ke RM4,000.

Menurutnya, tidak seperti golongan B40 di mana kerajaan mempunyai pangkalan data Bantuan Sara Hidup (BSH) yang sedia ada, tetapi tidak mempunyai pangkalan data untuk penerima M40, tetapi mengambil keputusan untuk membuat bayaran wang tersebut ke akaun LHDN mereka.

"Inilah sebab utama sistem permohonan melalui LHDN tergendala dan terpaksa menjalani proses penyelenggaraan.

"Seperti yang diumumkan dalam kenyataan Majlis Setiausaha PH sebelum ini, pihak LHDN memiliki data pendapatan individu dan bukan berbentuk isi rumah kerana tidak semua pembayar cukai mengemukakan pulangan cukai masing-masing sebagai sebuah isi rumah.

"Di samping itu, bukan semua dalam kategori di atas mempunyai fail cukai pendapatan," katanya.

Terdahulu, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) memaklumkan permohonan EZHasil, BPN dan BSH ditutup sementara waktu bagi tujuan penyelenggaraan bermula semalam hingga hari ini.

Artikel Berkaitan:

Ia bertujuan menaik taraf sistem atas talian bagi membolehkan akses berterusan ke semua sistem LHDNM.

Menurut kenyataan itu lagi, Majlis Setiausaha PH sangat berharap Kementerian Kewangan akan menimbang semula kaedah bayaran BPN dengan meneruskan formula yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini untuk menyampaikan bantuan terus kepada rakyat iaitu program e-Tunai Rakyat yang disertai lebih 8 juta orang.

Katanya, memandangkan penerima e-Tunai Rakyat telah melalui proses verifikasi bagi mereka yang mempunyai pendapatan boleh dicukai kurang RM100,000 setahun, adalah mudah bagi kerajaan untuk memastikan bahawa RM1,000 itu sampai kepada individu yang disasarkan pada masa yang sepatutnya.

"Kerajaan hanya perlu mengasingkan mereka yang sudah layak menerima bantuan BSH.

"Dengan menggunakan skim e-Tunai Rakyat, rakyat tidak perlu melalui proses pentadbiran yang melecehkan untuk mendaftar dan mendapat pengesahan, untuk layak menerima bantuan RM1,000 tersebut," katanya.

Kenyataan itu menyebut, sejajar dengan objektif e-pembayaran yang digalakkan oleh Bank Negara Malaysia iaitu menggunakan e-dompet atau transaksi tanpa sentuh yang akan memastikan virus, kuman dan bakteria tidak akan berjangkit melalui pertukaran wang tunai di kaunter juruwang.

"Ini adalah pilihan yang lebih sihat dan selamat memandangkan kepantasan pelaksanaan program yang dicadangkan oleh Perdana Menteri akan menentukan kejayaan atau kegagalan langkah-langkah yang diumumkan.

"Kami menyeru kerajaan untuk melantik Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) bagi menguruskan pengagihan bantuan RM1,000 bagi golongan M40 melalui e-dompet memandangkan mereka berjaya melaksanakan kempen e-Tunai Rakyat," katanya.