Bantuan zakat ringankan beban mualaf sambut Aidilfitri

Wan Nor Hanita (tiga dari kanan) menyampaikan zakat kepada mualaf dari Tumpat.
Wan Nor Hanita (tiga dari kanan) menyampaikan zakat kepada mualaf dari Tumpat.
A
A
A

KOTA BHARU – Bantuan zakat memberi kelegaan kepada golongan mualaf dalam membuat persiapan Aidilfitri, khususnya pada saat-saat akhir menjelang perayaan.

Ibu lima anak, Nur Syuhada Lee Abdullah, 58, berkata, sumbangan itu membantu meringankan beban kewangan lebih-lebih lagi mempunyai anak-anak yang masih belajar.

Dia yang juga Warden Sukarelawan Pusat Latihan Mualaf Tumpa berkata, wang zakat digunakannya untuk membayar yuran pengajian selain menyediakan kelengkapan asas Aidilfitri.

Nur Syuhada
Nur Syuhada

“Dengan bantuan ini, saya dapat bayar yuran anak-anak yang masih belajar dan sedikit sebanyak buat persiapan raya.

“Raya kami sederhana sahaja dan malam ini baru nak keluar beli baju raya,” katanya  ditemui pada Majlis Solat Sunat Tasbih dan Penyampaian Zakat bersama Tengku Puan Temenggong Kelantan anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Cawangan Wanita Kelantan di Masjid Muhammadi di sini pada Selasa.

Nur Syuhada berkata, dua anaknya masih mengikuti pengajian tahfiz dan pondok manakala seorang lagi kini mengajar di pusat latihan mualaf selepas menamatkan pengajian di Mesir.

Dia yang berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan memeluk Islam pada usia 22 tahun hasil minat mendalam terhadap sejarah Islam yang dipelajari di bangku sekolah.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, hubungan dengan keluarga asal kaum Cina masih baik walaupun berbeza agama dan mereka tetap berhubung terutama ketika perayaan.

“Dalam keluarga saya, tiga orang sudah memeluk Islam. Kami berhubung seperti biasa dan saling menghormati,” katanya.

Kesemua penerima bergambar dengan barisan kenamaan yang hadir.
Kesemua penerima bergambar dengan barisan kenamaan yang hadir.

Sementara itu, Pengerusi Perkim Cawangan Wanita Bahagian Negeri Kelantan, Datin Wan Nor Hanita Wan Yaacob berkata, zakat merupakan rukun Islam yang membantu golongan memerlukan serta mengurangkan beban kesusahan.

“Zakat bukan sekadar amalan kebajikan, sebaliknya kewajipan yang menjadi tonggak keadilan sosial selain mengeratkan hubungan masyarakat.

“Kali ini, seramai 170 individu iaitu 140 mualaf dan 40 asnaf menerima sumbangan zakat, bakul makanan serta telekung sembahyang sebagai persiapan Aidilfitri,” katanya.

Ringkasan AI

  • Bantuan zakat memberi kelegaan kepada golongan mualaf dalam persiapan Aidilfitri
  • Nur Syuhada Lee Abdullah menggunakan wang zakat untuk bayar yuran anak-anak dan persiapan raya
  • Dia mempunyai anak-anak yang masih belajar di tahfiz, pondok dan seorang lagi mengajar di pusat latihan mualaf
  • Hubungan dengan keluarga asal masih baik walaupun berbeza agama
  • Seramai 170 individu termasuk 140 mualaf dan 40 asnaf menerima sumbangan zakat dan keperluan Aidilfitri

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!