X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga lelaki dihadap mahkamah ingkar PKP

A
A

PORT DICKSON - Tiga lelaki termasuk seorang remaja mengaku bersalah atas pertuduhan berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini.

Ketiga-tiga mereka membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret, Siti Huzaifah Abdul Talib selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pertama, G Khishen Kumar, 19, yang bekerja sebagai kelindan lori manakala rakannya berusia 16 tahun dan tidak bersekolah didakwa ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila ditahan ketika menaiki sebuah motosikal di Kilometer 11 Jalan Lukut - Sepang.

Dalam kejadian pada jam 9.10 malam 1 April itu, tertuduh enggan berhenti dan terus memecut motosikalnya kira-kira 1 kilometer sebelum ditahan polis di kawasan perindustrian D'Ambang Kota.

G Khishen mengaku bersalah mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan dikenakan denda sebanyak RM4,000 atau tiga bulan penjara.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 19 Mei untuk remaja berusia 16 tahun dan perlu menunggu laporan akhlak.

Bagi kesalahan di bawah Peraturan 25(1)(n) PPN 1990 (gagal menunjukkan kad pengenalan), kedua-dua tertuduh mengaku salah dan tarikh hukuman disebut semula pada 19 Mei depan.

Tertuduh pertama dikenakan ikat jamin sebanyak RM1,000 manakala tertuduh kedua sebanyak RM800.

Sementara itu, seorang buruh pasang khemah, T Paandi Baskaran, 24, mengaku bersalah selepas didakwa mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Tertuduh ditahan pada jam 8.25 malam pada 31 Mac lalu di simpang ladang di Taman PD Utama kerana berkumpul bersama seorang rakannya yang melarikan diri bersama dua motosikal.

Paandi dihukum penjara tujuh hari dari tarikh tangkap dan denda RM900 atau 20 hari penjara.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus