PdPR: KPM teliti secara menyeluruh, ambil kira kepentingan semua - Timbalan Menteri

Kah Woh (duduk, tiga dari kanan) beramah mesra bersama orang ramai yang hadir ke program Buka Puasa Bersama di Taman Tasik Taiping pada Ahad.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Teh Kok Lim (dua, kanan).
--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Kah Woh (duduk, tiga dari kanan) beramah mesra bersama orang ramai yang hadir ke program Buka Puasa Bersama di Taman Tasik Taiping pada Ahad. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Teh Kok Lim (dua, kanan). --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
A
A
A

TAIPING - Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneliti secara menyeluruh pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi memastikan keputusan yang bakal dibuat mengambil kira kepentingan warga pendidik, ibu bapa dan murid.

Timbalan Menterinya, Wong Kah Woh berkata, KPM akan memastikan sebarang keputusan yang dibuat itu tidak menjejaskan murid serta pelajar supaya sesi pembelajaran dapat berjalan lancar.

"Bagi pihak KPM, kita akan buat keputusan yang terbaik bagi warga pendidik, ibu bapa dan anak-anak.

"Bagaimanapun, semua pihak perlu menunggu keputusan dan pengumuman akhir daripada Kabinet (mengenai bekerja dari rumah WFH) yang dijangka dibuat pada minggu hadapan sebelum sebarang ulasan lanjut dapat diberikan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ahli Parlimen Taiping di Taman Tasik Taiping di sini pada Ahad.

Pada masa sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Taiping berkata, ketika ini KPM masih menunggu keputusan Kabinet berhubung inisiatif WFH yang sedang diteliti kerajaan.

Semalam, Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad memaklumkan KPM akan mengadakan perbincangan khusus minggu depan bagi memperhalusi mekanisme WFH termasuk PdPR dalam kalangan pelajar sekolah serta penjawat awam kementerian itu, sekiranya dasar berkenaan diputuskan untuk dilaksanakan kerajaan.

Pada Khamis lepas, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, pelaksanaan pengaturan kerja fleksibel termasuk WFH dilihat antara langkah penting bagi memastikan kesinambungan operasi kerajaan dalam menghadapi dunia yang semakin tidak menentu akibat konflik geopolitik, bencana atau krisis kesihatan awam.

Ketegangan di Asia Barat meruncing sejak 28 Feb lepas susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, diikuti serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara-negara Teluk. - Bernama

 

Artikel Berkaitan:

 

Ringkasan AI

  • Kementerian Pendidikan akan meneliti pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)
  • Keputusan yang dibuat akan mengambil kira kepentingan warga pendidik, ibu bapa dan murid
  • Keputusan dan pengumuman akhir mengenai bekerja dari rumah dijangka pada minggu hadapan
  • Perbincangan khusus mengenai mekanisme WFH dan PdPR akan diadakan minggu depan
  • Pelaksanaan kerja fleksibel termasuk WFH penting bagi kesinambungan operasi kerajaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!