PN lantik Ahli Parlimen Pas sebagai Ketua Pembangkang, umum akhir Mac

Ahmad Samsuri berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dipengerusikannya pada Sabtu. Foto Awani
Ahmad Samsuri berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dipengerusikannya pada Sabtu. Foto Awani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perikatan Nasional (PN) memutuskan jawatan Ketua Pembangkang akan dipegang oleh seorang Ahli Parlimen Pas bagi menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin yang menyandang jawatan berkenaan ketika ini.

Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dipengerusikannya pada Sabtu.

Beliau berkata, bagaimanapun nama Ahli Parlimen yang akan dilantik sebagai Ketua Pembangkang baharu itu hanya akan diumumkan sebelum akhir Mac ini.

“Kita ada satu dua proses lagi di peringkat parti. Insya-ALLAH akan ada Ketua Pembangkang baharu pada sidang Parlimen akan datang.

“Selepas ini akan dimaklumkan kepada Tan Sri Speaker mengenai nama Ketua Pembangkang. Hamzah masih lagi memegang jawatan Ketua Pembangkang setakat ini,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi PN di sini pada Sabtu.

Mesyuarat itu turut dihadiri Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dominic Lau; serta Presiden Malaysian Indian People’s Party (MIPP), P Punithan.

Sebelum ini, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut dipecat daripada Bersatu pada 13 Februari lalu.

Pemecatan itu mencetuskan persoalan mengenai kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang.

Pada 22 Februari lalu, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti komponen PN mencadangkan Pas mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang memandangkan parti itu mempunyai bilangan kerusi Parlimen terbanyak dalam gabungan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, Pas akan mengadakan sesi libat urus serta perbincangan bagi mencapai konsensus mengenai calon yang akan dilantik sebagai Ketua Pembangkang.

Dalam perkembangan sama, beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, mesyuarat itu turut membincangkan persiapan PN bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka serta Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Sementara itu, Takiyuddin yang dilantik sebagai Setiausaha Agung PN yang baharu berkata, Pas sendiri akan memutuskan nama Ahli Parlimen yang akan menggalas tugas Ketua Pembangkang.

“Ya, parti akan membuat keputusan mengenai pilihan Ketua Pembangkang. Kita akan mempertimbangkan pandangan Ahli Parlimen, namun ia tidak bersifat mengikat,” katanya. - Awani

Ringkasan AI

  • Perikatan Nasional (PN) memilih Ahli Parlimen Pas sebagai Ketua Pembangkang menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin
  • Keputusan ini diumumkan oleh Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi PN
  • Nama Ahli Parlimen Pas yang dipilih sebagai Ketua Pembangkang baru akan diumumkan sebelum akhir Mac
  • Hamzah Zainudin dipecat dari Bersatu pada 13 Februari yang mencetuskan persoalan mengenai kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang
  • Pas akan mengadakan libat urus dan perbincangan untuk memilih calon Ketua Pembangkang baru

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!