‘Kerja tebuk atap’ punca pembangkang berpecah - Marzuki

Marzuki
Marzuki
A
A
A

SHAH ALAM – Tindakan segelintir pihak yang cuba membentuk kerajaan melalui pendekatan ‘tebuk atap’ didakwa menjadi punca kepada perpecahan dalam kalangan pembangkang.

Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri kelapan, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, pendirian itu telah dinyatakannya secara terbuka sebelum ini, khususnya selepas apa yang didakwa sebagai ‘Langkah Dubai’ gagal.

Menurutnya, pembangkang sepatutnya memberi tumpuan kepada peranan semak dan imbang terhadap kerajaan, bukannya terlibat dalam usaha menjatuhkan kerajaan melalui rundingan politik tertutup.

“Sebab itulah sebaik sahaja Langkah Dubai gagal, saya menyatakan pendirian secara terbuka supaya pembangkang berhentilah buat kerja tebuk atap.

“Fokus kerja pembangkang lawan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya.

Marzuki bagaimanapun mengakui pendiriannya itu mengundang kritikan daripada pelbagai pihak yang beranggapan beliau tidak memahami percaturan politik.

“Tetapi ramai yang marah kepada saya. Mereka kata saya tak cerdik. Saya tak pandai politik,” ujarnya.

Beliau berkata, pendirian tersebut diambil kerana melihat usaha menjatuhkan kerajaan melalui cara sedemikian hanya akan menimbulkan perpecahan dalam kalangan pembangkang sendiri.

Menurutnya, keghairahan untuk menjadi kerajaan dengan segera mendorong segelintir pihak sanggup memecah-belahkan parti serta menyerang pemimpin sendiri.

Artikel Berkaitan:

“Mereka yang beria-ia hendak menjadi kerajaan segera lebih rela memecah-belahkan parti dan menyerang pemimpin sendiri sehingga lunyai.

“Tetapi bersikap lunak dengan pemimpin di sebelah sana. Serangan dihala ke dalam, bukan kepada pihak musuh,” katanya.

Marzuki turut mendakwa situasi itu berlaku kerana wujud rundingan yang dibuat secara senyap.

“Rupa-rupanya ada ‘deal’ yang dibuat secara diam. Hari ini sudah terbongkar. Allah Maha Kaya,” ujarnya.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan pernah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, tahun lalu bagi membincangkan isu penyatuan parti Melayu dan Islam.

Pertemuan itu dipercayai berlangsung pada awal Disember tahun lalu ketika Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri melakukan lawatan kerja ke Bangkok, Thailand.

Susulan pertemuan itu, pada Perhimpunan Agung UMNO 2025 yang diadakan pada Januari lalu, Ahmad Zahid menyatakan hasrat parti untuk menyatukan semua parti Melayu dan Islam melalui gabungan berskala besar dikenali sebagai ‘grand collaboration’ atau ‘kolaborasi agung’.

Beliau menegaskan, langkah itu bukan bertujuan menggugat Kerajaan Perpaduan dan tiada keperluan bagi mana-mana parti yang terlibat membubarkan diri, sebaliknya penyertaan dilakukan secara tidak rasmi sebagai permulaan.

Berikutan itu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan mendakwa, bekas Timbalan Presidennya itu merancang untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri melalui pembentukan gabungan bersama parti lain.

Muhyiddin turut mengesahkan berlaku pertemuan antara Hamzah dengan Ahmad Zahid sebelum ini yang dikaitkan dengan apa yang digelar sebagai ‘Bangkok Move’.

Ringkasan AI

  • Tindakan membentuk kerajaan melalui pendekatan 'tebuk atap' menyebabkan perpecahan dalam pembangkang
  • Pendirian untuk memberi tumpuan sebagai semak dan imbang lebih baik daripada usaha menjatuhkan kerajaan secara tertutup
  • Pendirian tersebut dianggap tidak memahami percaturan politik oleh sesetengah pihak
  • Usaha 'tebuk atap' mendorong kepada pemecahbelahan dan serangan terhadap pemimpin dalam parti sendiri
  • Pertemuan antara Presiden UMNO dan Ketua Pembangkang membincangkan penyatuan parti Melayu dan Islam melalui 'kolaborasi agung'

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!