13 kru bot kargo karam diselamatkan nelayan

MERSING - Seramai 13 kru berdepan detik cemas apabila bot kargo dinaiki karam akibat kebocoran di perairan berhampiran Pulau Seri Buat di sini, malam Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, kesemua mangsa berjaya diselamatkan oleh sebuah bot pancing tempatan yang kebetulan berada berhampiran lokasi kejadian.
Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan menerima maklumat berhubung kejadian sekitar jam 8.30 malam sebelum disalurkan kepada Zon Maritim Mersing untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, sejurus menerima maklumat, Bot Penggalang 43 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang sedang menjalankan rondaan Op Jaksa, Op Tiris 3.0 dan Op Khas Pagar Laut digerakkan ke lokasi kejadian bagi melaksanakan operasi menyelamat.
“Setibanya di lokasi, pemeriksaan mendapati bot kargo berkenaan sudah karam.
“Bagaimanapun, kesemua 13 kru terlebih dahulu diselamatkan oleh sebuah bot pancing tempatan yang berada berhampiran ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, semua mangsa kemudian dipindahkan ke Bot Penggalang 43 sebelum dibawa ke Jeti Awam Penyabong untuk tindakan lanjut.
Katanya, kesemua kru bot berusia antara 19 hingga 63 tahun itu merupakan warga tempatan dan dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan.
Dalam pada itu, Suhaizan turut merakamkan penghargaan kepada komuniti nelayan tempatan yang bertindak pantas membantu menyelamatkan mangsa sebelum pasukan Maritim Malaysia tiba di lokasi kejadian.
Menurutnya, tindakan pantas komuniti maritim tempatan membuktikan kerjasama erat antara agensi penguatkuasaan dan masyarakat amat penting dalam memastikan keselamatan di perairan negara sentiasa terpelihara.
Ringkasan AI
- Bot kargo karam akibat kebocoran berhampiran Pulau Seri Buat Mersing malam Khamis
- Kesemua 13 kru diselamatkan oleh bot pancing tempatan
- Maritime Rescue Sub Centre Kuantan menerima maklumat tentang kejadian sebelum disalurkan kepada Zon Maritim Mersing
- Operasi penyelamatan dilaksanakan oleh Bot Penggalang 43 milik Maritim Malaysia
- Kesemua kru berusia antara 19 hingga 63 tahun merupakan warga tempatan dan selamat tanpa kecederaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

