Angkasa sokong peranan ICA-AP kukuh pembangunan koperasi serantau

Mesyuarat Lembaga ICA-AP yang berlangsung di Bangkok pada Rabu.
Mesyuarat Lembaga ICA-AP yang berlangsung di Bangkok pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyatakan sokongan terhadap usaha memperkukuh penglibatan Lembaga Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP) dalam jawatankuasa serantau serta inisiatif pembangunan koperasi.

Ia bertujuan memperluaskan jangkauan keanggotaan dan memperkasakan peranan ICA-AP dalam membuat keputusan dasar di peringkat Asia Pasifik.

Perkara itu disuarakan oleh Presiden Angkasa merangkap Naib Presiden ICA-AP, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dalam Mesyuarat Lembaga ICA-AP yang diadakan di Bangkok, Thailand pada Rabu.

Menurut Abdul Fattah, lembaga ICA-AP perlu memainkan peranan lebih aktif memperluas jangkauan keanggotaan di sub-rantau masing-masing serta mempertimbangkan penubuhan kumpulan kecil bagi memperkukuh penglibatan anggota dalam pelaksanaan program koperasi.

Kata beliau, langkah tersebut selaras usaha memperluaskan keterlibatan gerakan koperasi ke arah struktur ekonomi yang lebih saksama dan seimbang melalui kerjasama formal serta tidak formal antara koperasi anggota di negara-negara Asia Pasifik.

“Kerjasama strategik antara koperasi di peringkat serantau bukan sahaja dapat memperluaskan peluang perniagaan.

"Tetapi, ia juga mampu mengukuhkan peranan koperasi sebagai model ekonomi berteraskan rakyat untuk menjana perubahan sebenar menerusi matlamat bersama,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut memaklumkan, peranan Angkasa mewakili Malaysia melalui penubuhan Malaysia Business Office (MBO) pada 2013 serta tanggungjawab mempengerusikan Jawatankuasa Perniagaan dan Perdagangan ICA-AP akan terus diperkasakan bagi memperluas kerjasama ekonomi koperasi di peringkat serantau.

“Tumpuan juga diberikan kepada pembangunan pelancongan koperasi serta usaha mempergiat pemasaran produk koperasi selaras aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Abdul Fattah yang juga Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) berkata, komitmen berterusan dalam memperkukuh jaringan koperasi amat penting bagi memastikan gerakan itu terus relevan sebagai pemacu pembangunan sosioekonomi masyarakat.

Tambah beliau, fokus itu selaras peranan Angkasa sebagai badan puncak gerakan koperasi negara yang berperanan sebagai pemudah cara dalam merapatkan jurang dan mencipta peluang penyertaan ekonomi untuk dimanfaatkan oleh 16,342 koperasi di bawah naungan Angkasa dengan keanggotaan seramai 7.4 juta orang.

Dalam mesyuarat berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Angkasa merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Perniagaan dan Perdagangan ICA-AP, Datuk Abdullah Jusoh turut membentangkan perkembangan aktiviti jawatankuasa tersebut yang memfokuskan kepada tiga teras utama.

Teras yang dimaksudkan adalah mesyuarat strategik, penyertaan dalam pameran perdagangan serta platform pembangunan kapasiti bagi meningkatkan akses pasaran produk koperasi.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden ICA-AP, Dr S Y Chandrapal turut menghimpunkan barisan kepimpinan koperasi dari pelbagai negara Asia Pasifik bagi membincangkan hala tuju pembangunan koperasi di rantau ini.

Hadir sama, Naib Presiden Angkasa merangkap Ahli Lembaga ICA, Datuk Kamarudin Ismail.

Antara perkara dibincangkan termasuk pelaksanaan Pelan Strategik ICA-AP 2026–2030 yang menumpukan usaha memperluaskan peluang inklusif dalam koperasi, memperkukuh rangka kerja dasar dan peraturan koperasi, meningkatkan daya saing perniagaan koperasi serta memperkukuh jaringan kerjasama antara koperasi di rantau Asia Pasifik.

Sesi induksi ICA-AP yang dikendalikan oleh Profesor Hak Seng Ang dari Singapore Institute of Social Sciences turut diadakan bagi memberikan penerangan mengenai struktur tadbir urus ICA-AP, peranan lembaga serantau serta tanggungjawabnya dalam memperkukuh pembangunan koperasi di rantau Asia Pasifik ke arah tatanan ekonomi dan sosial yang lebih harmoni.

Sebanyak 11 agenda utama dibentangkan termasuk laporan aktiviti serta perkembangan program ICA-AP, laporan kewangan dan keanggotaan, laporan aktiviti Jawatankuasa Wanita dan Jawatankuasa Belia ICA-AP, perkembangan program kerjasama antarabangsa termasuk projek ICA-EU, perbincangan Pelan Strategik ICA-AP 2026–2030 serta potensi kerjasama perniagaan koperasi di rantau Asia Pasifik.

Selain mesyuarat, delegasi Angkasa turut dijadual mengadakan kunjungan ke Nong Pho Dairy Cooperative Ltd di Wilayah Ratchaburi yang merupakan antara koperasi tenusu terbesar di Thailand dan terkenal sebagai model kejayaan koperasi agribisnes dalam pembangunan industri tersebut.

ICA-AP merupakan badan gerakan koperasi serantau di bawah Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) yang menghimpunkan 123 organisasi koperasi apeks dari 29 negara di Asia Pasifik.


Ia berperanan mempromosikan pembangunan koperasi, memperkukuh jaringan kerjasama serantau serta meningkatkan keupayaan perniagaan koperasi sebagai model ekonomi mampan.

Antara sektor terlibat adalah pertanian dan alam sekitar, kepenggunaan, kredit dan perbankan, pendidikan, pembangunan sumber manusia, penyelidikan serta perdagangan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!