[VIDEO] Suami didakwa cuba bunuh isteri, diarah jalani pemeriksaan di Hospital Permai

A
A
A

KLUANG - Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan cuba membunuh isterinya dengan mengelar beberapa bahagian tubuh mangsa menggunakan sebilah pisau, awal bulan ini.

Tertuduh, Ei Jean Yee, 56, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim, Mujib Saroji.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa cuba membunuh isterinya berusia 48 tahun dengan cara mengelar leher, tangan dan bahu mangsa menggunakan sebilah pisau dengan niat menyebabkan kematian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 9.31 malam di sebuah rumah di Taman Muhibbah di sini pada 4 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ramizah Razali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Semasa prosiding, Nur Ramizah memohon mahkamah membenarkan tertuduh dirujuk ke Hospital Permai bagi pemeriksaan mental.

Hakim kemudian memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Permai dan kes akan disebut semula pada 10 April.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kluang atas pertuduhan cuba membunuh isterinya
  • Tertuduh, Ei Jean Yee, mengaku bersalah
  • Didakwa cuba membunuh isterinya dengan mengelar leher, tangan dan bahu menggunakan pisau
  • Kesalahan didakwa bertempat di Taman Muhibbah pada 4 Mac malam
  • Tertuduh boleh menghadapi hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!