Cadangan pengeluaran akaun 2 melalui i-Lindung sedang diteliti - MOF

Cadangan untuk membenarkan pengeluaran daripada Akaun 2 melalui i-Lindung sedang diteliti, dibuat secara sukarela dan terhad kepada akaun yang sememangnya diperuntukkan bagi tujuan kesihatan dan perlindungan. - Gambar hiasan
Cadangan untuk membenarkan pengeluaran daripada Akaun 2 melalui i-Lindung sedang diteliti, dibuat secara sukarela dan terhad kepada akaun yang sememangnya diperuntukkan bagi tujuan kesihatan dan perlindungan. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cadangan untuk membenarkan pengeluaran daripada Akaun Sejahtera (Akaun 2) melalui i-Lindung sedang diteliti, dibuat secara sukarela dan terhad kepada akaun yang sememangnya diperuntukkan bagi tujuan kesihatan dan perlindungan.

Kementerian Kewangan (MOF) berkata, pendekatan itu bagi memastikan keseimbangan antara keperluan perlindungan kesihatan dan keselamatan simpanan persaraan.

"Simpanan dalam Akaun Persaraan (Akaun 1) sama sekali tidak akan terjejas. Simpanan di dalam Akaun Sejahtera sememangnya telah diperuntukkan untuk membantu ahli bagi memenuhi keperluan jangka masa sederhana seperti pengeluaran perubatan, pendidikan, perumahan dan tujuan-tujuan yang dibenarkan.

"Bagaimanapun, ia tertakluk kepada terma dan syarat yang ditentukan,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

MOF berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Rosni Sohar berhubung penilaian terhadap keupayaan pelan asas Pelan Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) dalam meningkatkan perlindungan rakyat dan implikasi cadangan penggunaan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terhadap keselamatan dana persaraan pencarum.

Menurut MOF, KWSP sedang melaksanakan penambahbaikan fasiliti i-Lindung ketika ini agar dapat diperluaskan merangkumi produk asas MHIT baharu.

Ketika ini fasiliti i-Lindung menawarkan produk Fasiliti Perlindungan Ahli (FPA) untuk perlindungan hayat dan penyakit kritikal.

MOF berkata, kerajaan akan terus melaksanakan pembaharuan secara berfasa, dengan kerjasama semua pihak, bagi membina sistem penjagaan kesihatan yang lebih kukuh dan mampan.

"Kerajaan juga akan terus memantau pelaksanaan pelan ini bagi memastikan kepentingan rakyat sentiasa dilindungi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Di bawah strategi RESET, MHIT Asas yang diumumkan kerajaan pada 22 Januari, 2026 merupakan langkah penting untuk memperluas akses kepada perlindungan insurans dan takaful kesihatan yang berterusan, sambil meningkatkan ekosistem kesihatan untuk manfaat rakyat. - Bernama

Ringkasan AI

  • Cadangan pengeluaran dari Akaun Sejahtera melalui i-Lindung untuk tujuan kesihatan dan perlindungan sedang diteliti
  • Pendekatan ini untuk keseimbangan antara perlindungan kesihatan dan keselamatan simpanan persaraan
  • Simpanan dalam Akaun Persaraan tidak akan terjejas, Akaun Sejahtera dibenarkan untuk pengeluaran perubatan dan tujuan lain
  • Pelan Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) sedang diperluaskan untuk memasukkan produk asas baru
  • Kerajaan akan melakukan pembaharuan berfasa untuk sistem penjagaan kesihatan yang lebih kukuh dan mampan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!