X

Kindly register in order to view this article
!

PM hadiri ICEA ketiga di Senegal

Dr Mahathir
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Antarabangsa mengenai Kemunculan Afrika (ICEA) kali ketiga di Dakar, Senegal, pada Khamis.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan hari ini berkata, ini merupakan penampilan pertama Perdana Menteri Malaysia pada ICEA sejak persidangan itu diadakan pada 2015.

Bertemakan ‘Kemunculan, Sektor Swasta dan Keterangkuman’, ICEA 2019 akan memberi tumpuan kepada mempromosi serta memperkukuhkan peranan sektor swasta dalam pelan kemunculan Afrika, menurut kenyataan itu.

Dr Mahathir akan diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya, di samping pegawai kanan kerajaan daripada Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar.

Wisma Putra berkata, kemuncak kehadiran perdana menteri pada ICEA ketiga adalah Perbincangan Panel Peringkat Tertinggi yang akan berlangsung selepas majlis perasmian ICEA pada Khamis.

Wisma Putra berkata sesi itu, yang akan turut disertai Presiden masing-masing dari Burkina Faso, Côte d'Ivoire, Kenya, Mali, Rwanda dan Senegal, akan memberi peluang kepada Dr Mahathir untuk mengetengahkan kejayaan perkongsian awam-swasta di Malaysia.

"Sebagai tambahan, perdana menteri akan turut berkongsi idea dan wawasan Malaysia berkaitan perkongsian ekonomi serta perdagangan antara Malaysia dan negara Afrika yang memuncul,” jelas kenyataan itu.

Wisma Putra berkata, perdana menteri dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Senegal untuk membincangkan perkara berkaitan kepentingan bersama dengan matlamat untuk mempertingkatkan hubungan dua hala selain kerjasama dalam isu penting serantau serta antarabangsa.

Malaysia dan Senegal menjalin hubungan diplomatik sejak 33 tahun lepas dan mengekalkan hubungan kerjasama yang kukuh dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan dan pelaburan.

Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Senegal pada 2017 adalah RM372.6 juta (US$86.5 juta), dengan eksport Malaysia berjumlah RM364.5 juta (US$84.6 juta) dan import dari Senegal bernilai RM8.1 juta (US$1.87 juta).

Eksport utama Malaysia ke Senegal adalah minyak sawit dan produk berasaskan sawit, produk pertanian, makanan diproses manakala import utama dari Senegal adalah kapas, baja belum diproses dan bahan galian belum diproses, kimia dan produk kimia serta pengeluaran logam, kata Wisma Putra. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!