'Jangan lihat sebelah pihak, yang sana juga perlu dihukum' - Akmal Saleh

Muhamad Akmal
Muhamad Akmal
A
A
A

 

KUALA LUMPUR - Tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak yang bertindak ekstrem sehingga mengugut dengan kekerasan, menyerang rumah serta membakar kenderaan orang lain.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata tindakan sedemikian jauh lebih berbahaya kerana melibatkan unsur keganasan dan boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.

“Tindakan tegas bukan sahaja perlu dikenakan kepada individu yang memijak trisula, tetapi juga kepada mereka yang bertindak ekstrem dengan mengugut menggunakan kekerasan, menyerang rumah dan membakar kereta orang.

“Ini jauh lebih berbahaya dan memerlukan tindakan tegas serta keras daripada pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Muhamad Akmal berkata, penguatkuasaan undang-undang tidak seharusnya dilihat berat sebelah dengan hanya mengambil tindakan terhadap satu pihak sahaja.

“Jangan lihat sebelah pihak sahaja, pihak yang sebelah sana juga perlu dihukum,” tegasnya.

Kenyataan Muhamad Akmal itu sebagai respons kepada Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan yang sebelum ini mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu yang didakwa menghina simbol suci agama Hindu dengan memijak trisula.

Syahredzan menyifatkan perbuatan tersebut sebagai melampau dan tidak boleh dikompromi dalam negara majmuk seperti Malaysia kerana berpotensi mencetuskan ketegangan antara agama.

Artikel Berkaitan:

Isu itu tercetus selepas tular satu video yang didakwa memaparkan seorang individu memijak simbol trisula atau soolam sehingga menimbulkan kemarahan dalam kalangan masyarakat beragama Hindu.

 

 

Ringkasan AI

  • Tindakan tegas harus diambil terhadap mereka yang bertindak ekstrem seperti mengugut dengan kekerasan, menyerang rumah dan membakar kenderaan
  • Ketua Pemuda UMNO menegaskan tindakan ini berbahaya dan melibatkan unsur keganasan yang boleh mencetuskan ketegangan masyarakat
  • Muhamad Akmal menekankan pentingnya tindakan tegas dari pihak berkuasa tanpa berat sebelah
  • Penguatkuasaan undang-undang mesti adil dan tidak hanya bertumpu pada satu pihak sahaja
  • Isu ini muncul sebagai respons terhadap desakan tindakan terhadap individu yang didakwa menghina simbol suci agama Hindu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!