Dua cedera dirempuh Myvi terbabas dalam restoran

TAIPING – Dua lelaki cedera selepas dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang terbabas masuk ke sebuah restoran makanan Cina di Taman Kota Jaya, di sini pada Selasa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari balai dan tiba pada jam 10.15 pagi.
“Sebuah kereta Perodua Myvi dipandu seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) berusia 69 tahun dipercayai terbabas masuk ke sebuah restoran makanan Cina.
“Kejadian itu menyebabkan dua lelaki berusia lingkungan 50-an yang berada di dalam restoran berkenaan mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa telah dikeluarkan orang awam dari bawah kenderaan sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.
Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, kaki dan tangan sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.
Bagaimanapun beliau berkata, pemandu kenderaan tersebut dilaporkan selamat.
Operasi melibatkan tujuh anggota bersama sebuah jentera dan Unit Bermotor Bomba (RIM) berjaya dikawal pada jam 10.20 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.30 pagi.
Ringkasan AI
- Dua lelaki cedera selepas sebuah Perodua Myvi terbabas masuk ke restoran makanan Cina di Taman Kota Jaya, Taiping
- Panggilan kecemasan diterima pada jam 10 pagi
- Kereta dipandu oleh seorang lelaki OKU berusia 69 tahun
- Mangsa mengalami kecederaan di kepala, kaki dan tangan
- Operasi penyelamat melibatkan tujuh anggota bomba dan selesai pada jam 10.30 pagi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

