PKNS sumbang RM100,000 bantu bina kompleks asrama anak yatim

KLANG – Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyumbang RM100,000 bagi menyokong pembinaan Kompleks Asrama Anak Yatim Pulau Indah, Klang.
Majlis penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat PKNS, Sapna Turmidi kepada Pengerusi Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) merangkap Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Mazlan Mansor dengan disaksikan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah di Masjid Kampung Raja Uda, di sini.
Sumbangan itu adalah sebagai tanda komitmen PKNS dalam memperkasa kemudahan asrama, Sekali gus meningkatkan kualiti prasarana bagi kegunaan anak-anak yatim.
Majlis anjuran YIDE itu merupakan siri keempat sepanjang Ramadan tahun ini dalam usaha menyantuni golongan berkenaan.
Sementara itu, Mazlan memaklumkan, pihaknya komited memastikan anak-anak yatim bukan sahaja menerima bantuan kewangan, malah turut disokong dari aspek pendidikan, pembangunan sahsiah dan kebajikan jangka panjang.

“Ini termasuk pembangunan Kompleks Asrama Anak Yatim di Pulau Indah, Klang yang sedang giat dilaksanakan.
“Pembangunan kompleks ini telah mencapai progress 86 peratus dan memerlukan baki dana sebanyak RM3.1 juta. Ia dijangka beroperasi sepenuhnya pada Januari 2027,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan.
Pada 19 Ogos 2019, Tengku Amir Shah berkenan menyempurnakan cadangan pembangunan kompleks dan melancarkan tabung wakaf khas bagi tujuan merealisasikan pembinaannya agar dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.
Kompleks seluas 3.47 ekar itu dibangunkan di atas tanah wakaf oleh Central Spectrum (M) Sdn Bhd berjumlah RM5 juta. Kompleks itu akan menjadi pemangkin kearah pusat kecemerlangan bagi anak-anak yatim negeri Selangor.
REAKSI

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan sumbangan yang diberikan dan akan gunakan wang bantuan ini untuk membeli kelengkapan menjelang Aidilfi tri nanti.”- Muhammad Alexander Hanafi , 15
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

