Degum-degam mercun raya, jangan pentingkan diri!

MEMASUKI penghujung Ramadan, suasana malam di taman-taman perumahan dan kampung biasanya bertukar meriah dengan lampu kelip-kelip menghiasai halaman rumah dan kanak-kanak riuh-rendah bermain di luar.
Bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Merak Jalanan melihat semakin menjadi-jadi pula letupan mercun.
Bunyi ‘boom!’ yang memecah kesunyian malam mungkin menggembirakan segelintir orang, tetapi bagi ramai jiran yang lain, ia bukan sekadar bunyi biasa, sebaliknya satu gangguan yang menyesakkan.
Merak Jalanan percaya ramai pernah mengalaminya, baru saja mahu lena selepas penat seharian bekerja, tiba-tiba dentuman mercun mengejutkan seluruh isi rumah pada tengah malam.
Lebih membimbangkan mercun bukan sekadar dimainkan menjelang malam raya, bahkan ada yang mula bermain sejak awal Ramadan lagi dan ia berlarutan sehingga lewat malam tanpa memikirkan ketenteraman jiran sekeliling.
Merak Jalanan turut perasan apabila bacaan imam-imam tarawih turut terganggu dengan bunyi letupan tersebut.
Saban tahun juga pasti ada yang tercedera akibat mercun, ada yang melecur, ada yang cedera, malah ada kes yang terputus jari dan melibatkan kanak-kanak.
Sedangkan apa yang Merak Jalanan tahu, hanya mercun happy boom dan pop-pop yang dibenarkan dijual di pasaran. Persoalannya, dari manakah stok mercun yang meletup kuat itu diperoleh dengan mudah?
Janganlah sampai kegembiraan segelintir daripada kita menjadi punca gangguan kepada jiran tetangga lebih-lebih lagi hidup bermasyarakat menuntut kita saling menghormati ruang dan hak orang lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
