Rugi lebih RM4,000 tertipu urusan jual beli kenderaan

Mohd Wazir Mohd Yusof
Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KUANTAN - Seorang peniaga rugi lebih RM4,000 selepas tertipu dalam urusan jual beli sebuah kenderaan pacuan empat roda yang diiklankan seorang lelaki melalui Facebook, kelmarin.

Daripada jumlah kerugian itu, RM1,000 dibayar kepada 'polis' sebagai jaminan keluar daerah semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi urusan tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, dalam kejadian tersebut, wanita berusia 33 tahun itu berminat membeli kenderaan jenis Toyota Hilux yang diiklankan dengan harga jualan RM18,000 selepas melayari laman sosial itu, 28 Mac lalu.

"Mangsa diminta menjelaskan wang pendahuluan RM10,000 dan bakinya perlu dijelaskan ketika mengambil kenderaan itu selepas tempoh PKP 14 April ini.

"Mangsa membuat bayaran pertama pada hari sama berjumlah RM500 melalui akaun bank atas nama sebuah syarikat dan RM30 untuk kad tambah nilai kepada penjual berkenaan," katanya.

Mohd Wazir berkata, dalam tempoh 29 Mac hingga 1 April lalu, mangsa menjelaskan bayaran lebih RM3,200 termasuk kos tunda dan jaminan keluar daerah semasa tempoh PKP.

"Selepas membuat bayaran itu, mangsa menerima panggilan daripada individu tidak dikenali meminta bayaran tambahan RM1,040 sebelum kenderaan itu boleh diserahkan, namun mangsa tidak membuat bayaran seperti diminta, sebaliknya tampil membuat laporan polis semalam selepas syak telah ditipu," katanya.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pihaknya kini turut mengesan pemilik empat akaun yang digunakan dalam kes berkenaan bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan: