Wanita nadi kekuatan keluarga, masa depan negara - PM

Sempena Hari Wanita Antarabangsa, Anwar berkongsi penghargaan kepada Wan Azizah dan anak-anaknya. Foto: FB Anwar Ibrahim
Sempena Hari Wanita Antarabangsa, Anwar berkongsi penghargaan kepada Wan Azizah dan anak-anaknya. Foto: FB Anwar Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Wanita nadi kekuatan keluarga, tiang seri masyarakat dan penggerak penting kemajuan negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, di sebalik keluarga yang utuh dan masyarakat yang sejahtera, terserlah pengorbanan, ketabahan serta kebijaksanaan wanita yang tidak pernah jemu mencurahkan kasih sayang demi masa depan yang lebih baik.

Ahli Parlimen Tambun itu turut berkongsi penghargaan kepada isteri beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta anak-anaknya sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa.

"Secara peribadi, saya amat menghargai segala pengorbanan wanita dalam kehidupan saya sendiri, khususnya Azizah serta anak-anak yang sentiasa menjadi sumber kekuatan, kesabaran dan dukungan sepanjang perjalanan perjuangan ini.

"Sesungguhnya, kekuatan yang sama juga terpancar daripada jutaan wanita di seluruh negara, para ibu, isteri, anak, pendidik, penjaga dan pemimpin masyarakat yang setiap hari berjuang dalam senyap demi keluarga dan negara tercinta," katanya menerusi hantaran di Facebook sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa pada Ahad.

Anwar turut mengajak rakyat bersama-sama menghargai peranan dan sumbangan besar wanita.

"Serta memastikan mereka terus dihormati, diperkasa dan diberikan ruang yang adil untuk menyumbang kepada kemajuan negara.

"Kalian adalah kekuatan, harapan dan masa depan negara," katanya lagi.

 

Artikel Berkaitan:

 

 

Ringkasan AI

  • Wanita nadi kekuatan keluarga, tiang seri masyarakat dan penggerak kemajuan negara menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim
  • Ketabahan, kebijaksanaan dan kasih sayang wanita adalah asas keluarga utuh dan masyarakat sejahtera
  • Anwar menghargai pengorbanan wanita dalam kehidupannya khususnya isteri dan anak-anaknya sempena Hari Wanita Antarabangsa
  • Jutaan wanita di Malaysia dianggap sebagai pahlawan senyap yang berjuang demi keluarga dan negara
  • Anwar mengajak rakyat menghargai, menghormati dan memperkasa wanita agar mereka dapat terus menyumbang kepada kemajuan negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!