'Satu berita gembira buat saya' - Reezal Merican sambut baik hasrat KJ kembali ke UMNO

Laporan Sinar Harian pada Sabtu. Gambar kiri: Reezal Merican
Laporan Sinar Harian pada Sabtu. Gambar kiri: Reezal Merican
A
A
A

GEORGE TOWN- Pengumuman bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk menyertai agenda Rumah Bangsa dilihat memberi sinaran baharu kepada parti berkenaan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pengumuman yang dibuat pada malam Jumaat itu adalah berita gembira buatnya.

Beliau turut menyatakan pengumuman tersebut juga akan menggembirakan arwah bapa mertua Khairy iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi sekiranya Allahyarham masih ada.

"Berita gembira buat saya di malam Nuzul AI-Quran: KJ umum hasrat kembali ke UMNO.

"Almarhum pasti gembira," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu.

Terdahulu, Khairy secara terbuka telah mengumumkan hasrat untuk kembali menyertai parti itu menerusi agenda Rumah Bangsa.

Khairy yang dipecat UMNO empat tahun lalu itu berkata, beliau melihat kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang membuka pintu penyatuan tanpa syarat sebagai perkembangan positif dan peluang murni buat dirinya.

Khairy berkata, kenyataan dikeluarkan Ahmad Zahid pada 6 Mac itu yang membuka pintu Rumah Bangsa seluas-luasnya kepada bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian turut memberi makna kepada dirinya.

Dalam rakaman sama, Khairy turut mengarahkan Setiausaha Akhbarnya, Raja Syahrir Raja Abu Bakar untuk menyediakan draf surat permohonan bagi tujuan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan hasrat untuk menyertai kembali UMNO melalui agenda Rumah Bangsa
  • Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyambut baik pengumuman tersebut
  • Pengumuman ini juga dianggap akan menggembirakan arwah Tun Abdullah Ahmad Badawi, bapa mertua Khairy
  • Khairy dipecat dari UMNO empat tahun lalu dan melihat kenyataan Ahmad Zahid tentang penyatuan tanpa syarat sebagai peluang murni
  • Khairy mengarahkan Setiausaha Akhbarnya menyediakan draf surat permohonan untuk menyertai kembali UMNO

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!