Seruan perkukuh kembali saf perjuangan parti - Wan Rosdy

KUANTAN - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyambut baik dan menyokong penuh kenyataan Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang membuka pintu kepada bekas pimpinan dan ahli parti untuk kembali menyertai perjuangan parti itu.
Menurut beliau, seruan ini sebagai langkah yang tepat dan berjiwa besar dalam usaha memperkukuh kembali saf perjuangan parti.
"Saya menyeru pimpinan dan ahli umno semua "peringkat untuk sama-sama kita sambut hasrat presiden dengan melupakan segala perbalahan dan menamatkan semua sengketa.
"Hargailah yang masih bersama dan memujuk mereka yang berjauh hati untuk kembali," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau percaya usaha ini akan menjadi titik penting kepada pengukuhan semula UMNO agar terus kekal sebagai wadah perjuangan agama, bangsa dan tanah air.
"UMNO rumah kita," ujarnya.
Sebelum itu, Ahmad Zahid mengajak mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat dan digantung keahliannya untuk kembali ke parti itu tanpa syarat.
Menurutnya, pelawaan di bawah inisiatif 'Rumah Bangsa' itu juga dibuka kepada mana-mana individu yang mahu bersama dengan perjuangan parti itu untuk menyertai UMNO.
Ringkasan AI
- Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyambut baik dan menyokong kenyataan Presidennya yang mengajak bekas pimpinan dan ahli kembali kepada parti
- Seruan tersebut dianggap sebagai langkah berjiwa besar untuk memperkuat saf perjuangan
- Beliau menyeru semua peringkat pimpinan dan ahli UMNO untuk menerima hasrat presiden dan mengakhiri perselisihan
- Ini dianggap sebagai usaha penting untuk mengukuhkan semula UMNO sebagai parti utama perjuangan agama, bangsa, dan tanah air
- Ahmad Zahid mengajak bekas ahli yang dipecat atau digantung keahliannya untuk kembali tanpa syarat melalui inisiatif 'Rumah Bangsa'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

