Sayyid Iskandar sudah sedar namun belum boleh bercakap - Adik

KUALA KRAI - "Kami menangis, dia menangis. Begitulah keadaan abang."
Demikian perkongsian Nurul Asyiqin Mohamad Azaha, 18, mengenai perkembangan terkini abangnya yang merupakan pelatih dan pemain ragbi Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu, Sayyid Iskandar, 20.
Menurutnya, anak ketiga daripada enam beradik itu telah sedar pada Selasa lalu namun masih belum dapat bercakap kerana badan serta mulutnya dipenuhi wayar.
Ujarnya, mereka sekeluarga hanya mampu berinteraksi menggunakan bahasa tubuh seperti tangan dan pergerakan mata serta kepala.
"Abang nampak kuat semangat namun apabila kami berbual dan menangis di depannya, dia juga akan turut sama menangis.
"Dia akan mengangguk dan menggelengkan kepala setiap kali kami berbual. Melihat kepada keadaan terkini, dia mungkin akan menyambut Aidilfitri di hospital," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Nurul Asyiqin memberitahu, Sayyid Iskandar baru sahaja menjalani prosedur memasukkan besi pada tangan kanan dan kaki kirinya.
Katanya, abangnya itu masih ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan hanya seorang pelawat dibenarkan masuk untuk menziarahinya.
"Setiap hari abang menerima ramai kunjungan daripada rakan-rakannya sehingga pengawal keselamatan hanya membenarkan setiap orang seminit sahaja masa untuk melawat.
"Setakat ini abang selalu meminta telefonnya daripada kami serta rakan-rakan. Mungkin dia ingin melihat kejadian kemalangan itu. Namun kami tidak benarkan kerana bimbang mengganggu emosinya," katanya.
Sinar Harian pada 1 Mac lalu melaporkan seorang pelajar Kolej Vokasional Kuala Krai mengalami putus kaki kanan selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di Kampung Bechah Salak, Jalan Batu Balai–Chuchoh Puteri di sini pada malam 28 Februari.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa, Sayyid Iskandar dilaporkan mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra.
Mangsa merupakan pelajar tahun akhir kursus Diploma Teknologi Elektrik dan juga pelatih untuk pasukan Sukma Ragbi Lelaki Terengganu.
Ringkasan AI
- Sayyid Iskandar, pelatih dan pemain Sukma Terengganu, telah sedar tetapi belum dapat bercakap kerana badannya dipenuhi wayar
- Sayyid Iskandar mengalami cedera parah dalam kemalangan jalan raya dan kini dirawat di ICU
- Hanya boleh berinteraksi menggunakan bahasa tubuh seperti gerakan tangan dan kepala
- Sayyid Iskandar menjalani prosedur pemasangan besi pada tangan kanan dan kaki kirinya
- Mungkin menyambut Aidilfitri di hospital disebabkan keadaan kesihatannya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

