'Jangan lupa Ahmad, Ah Hock, Muthu di Pulau Pinang'

Hsiao Leung (kanan) dengan kerjasama pihak swasta menyumbang penyejuk udara untuk kegunaan petugas kesihatan dan pesakit yang dirawat di Hospital Bukit Mertajam.
Hsiao Leung (kanan) dengan kerjasama pihak swasta menyumbang penyejuk udara untuk kegunaan petugas kesihatan dan pesakit yang dirawat di Hospital Bukit Mertajam.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Walaupun kita sokong usaha bantu Mak Cik Kiah, jangan lupa kepada Ahmad, Ah Hock dan Muthu yang bekerja di sektor perkilangan dan perkhidmatan di Pulau Pinang, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung.

Menurutnya, ini kerana sektor perkilangan dan perkhidmatan termasuk pelancongan menyumbang hampir 70 peratus tenaga kerja di Pulau Pinang yang menjadi penggerak aktiviti ekonomi di negeri itu.

"Sebanyak 20 peratus pula merupakan sektor kerajaan selebihnya 10 peratus bekerja dalam sektor pertanian, perlombongan dan pembinaan.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan perniagaan dan perkhidmatan yang bukan asas diarahkan tutup. Pelancong antarabangsa dan tempatan tidak lagi kunjungi Pulau Pinang, lebih 600,000 orang yang bekerja di kilang besar dan kecil, kedai runcit, restoran, bengkel kereta, hotel, hartanah dan sebagainya di Pulau Pinang berisiko hilang kerja atau pendapatan,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Hsiao Leung berkata, rentetan itu, pakej rangsangan diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mencukupi untuk melindungi sektor pekerjaan dan perniagaan kecil di Pulau Pinang, yang banyak bergantung kepada sektor perkilangan, pelancongan dan perkhidmatan.

“Pakej rangsangan itu perlu diteliti semula bagi menangani kehidupan dan keselamatan pekerjaan penduduk Pulau Pinang. Saya setuju dengan pandangan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim agar Parlimen bersidang untuk bincangkan pakej rangsangan kerajaan bagi pastikan bukan Mak Cik Kiah sahaja dilindungi, sebaliknya semua pihak,” katanya.

Menurutnya, kadar subsidi gaji RM600 selama tiga bulan tidak mencukupi untuk membantu perniagaan kecil dan sederhana di Pulau Pinang untuk menggaji pekerja apabila perniagaan tidak beroperasi dan tiada pendapatan.

“Antara kekangan adalah syarat memerlukan majikan menunjukkan pendapatan mereka menurun 50 peratus untuk memperoleh subsidi gaji. Subsidi gaji mesti disasarkan untuk bantu semua yang terjejas termasuk tempoh seterusnya untuk pulihkan perniagaan. Subsidi tiga bulan gaji perlu dilanjutkan dan perlu ditingkatkan jumlahnya, diselaraskan mengikut sektor paling terjejas,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Hsiao Leung berkata, kerajaan Singapura menampung sehingga 75 peratus gaji bulanan pekerja bagi sektor paling terjejas sehingga akhir tahun ini.

“Kerajaan perlu bantu membayar peratusan gaji pekerja yang diminta bercuti tanpa gaji atau waktu kerja dipendekkan terutama kilang bersaiz kecil dan sederhana. Ini akan bantu mengelakkan pemberhentian pekerja secara besar-besaran,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga perlu jelaskan sumber untuk membiayai subsidi gaji RM600, yang diberikan kepada majikan menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sama ada menggunakan dana Perkeso atau sebaliknya.

“Kerajaan Persekutuan harus contohi inisiatif kerajaan Pulau Pinang yang menawarkan pinjaman tanpa faedah kepada PKS bawah pakej rangsangan. Saya percaya banyak syarikat bersaiz kecil dan sederhana akan membuat pinjaman dengan caj faedah apabila tiada pendapatan perniagaan sepanjang PKP, untuk bayar sewa, perbelanjaan keperluan dan gaji pekerja,” katanya.

Katanya, di Amerika Syarikat, AS$350 bilion diperuntukkan untuk memberi pinjaman tanpa faedah dan pinjaman hanya dibayar balik mengikut perkadaran kaki tangan yang diberhentikan.

“Bagaimana nasib individu bekerja sendiri, pekerja kontrak atau upah harian untuk menyokong sistem eko-industri pengeluar dan industri perkhidmatan? Mereka wajar diberikan bantuan kewangan bulanan sehingga akhir tahun, bukan 'one-off' RM1,600 atau RM1,000 bagi setiap isi rumah, ia tidak cukup untuk tampung pendapatan mereka,” katanya.