Pencuci mulut RM1 untuk semua

SEREMBAN – Seorang peniaga mengambil inisiatif menjual pencuci mulut pada harga RM1 bertujuan memberi peluang kepada orang ramai menikmati pelbagai jenis manisan tanpa perlu berbelanja besar.
Menurut Muhammad Adha Jefri, 26, sebelum ini dia dan rakan menjual pencuci mulut secara dalam talian pada harga RM7 sebekas.
“Tetapi sejak dua bulan lalu, timbul idea menjual pada harga lebih murah dengan mengecilkan saiz bekas supaya pelanggan boleh merasai lebih banyak jenis.
“Saya tidak menyangka percubaan ini berjaya apabila mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan sehingga terjual kira-kira 500 bekas setiap hari,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Bazar Aidilfitri Dataran Senawang.

Muhammad Adha berkata, sebanyak 20 jenis pencuci mulut ditawarkan dan antara paling mendapat sambutan ialah cheesekut, cheesetart dan puding karamel.
“Saya tidak nafikan harga bahan mentah untuk membuat pencuci mulut ini agak mahal dan itu antara faktor peniaga terpaksa menjual pada harga tinggi.
“Bagaimanapun, apabila dijual dalam saiz lebih kecil dengan harga lebih rendah, pelanggan lebih tertarik untuk membeli kerana tidak terasa mahal,” ujarnya.
Ujarnya, walaupun dijual pada harga RM1, rasa dan kualiti tetap sama seperti produk dijual pada harga lebih tinggi sebelum ini.
Selain itu, katanya, semua pencuci mulut dihasilkan sendiri bersama rakannya, Maisarah Najwa Nurhizam, 23, bagi memastikan kualiti dan rasanya sentiasa terjamin.
Ringkasan AI
- Seorang peniaga menjual pencuci mulut pada harga RM1 untuk membolehkan orang ramai menikmati manisan dengan kos yang rendah
- Muhammad Adha Jefri dan rakan menjual pencuci mulut ini dalam saiz bekas yang lebih kecil berbanding harga asal RM7
- Penjualan pada harga murah ini mendapat sambutan menggalakkan dengan 500 bekas terjual setiap hari
- Terdapat 20 jenis pencuci mulut ditawarkan dengan cheesekut, cheesetart, dan puding karamel sebagai pilihan popular
- Walaupun harga jualan lebih rendah, rasa dan kualiti pencuci mulut kekal sama karena semua produk dihasilkan sendiri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


